Jumaat, 21 Januari 2011

Lantik SUK ikut telunjuk Umno-BN: tragedi di Perak akan berulang di Selangor

DETIK DAILY

Kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Dato' Mohd Khusrin Munawi didakwa antara bencana 'rampasan kuasa' oleh Umno-BN sepertimana yang terjadi kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Perak sebelum ini. Ketika dihubungi, Pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Koo Ham menempelak tindakan yang diambil Kerajaan Persekutuan melantik SUK sesebuah negeri tanpa mengambil kira pandangan daripada kerajaan negeri tersebut

"Perkara ini tidak boleh diterima kerana mana mungkin pegawai tinggi sesebuah negeri boleh ditentukan oleh pihak lawan (Umno-BN) negeri tersebut. Ianya tidak masuk akal," tegasnya ketika diminta mengulas isu yang melanda Kerajaan Negeri Selangor. Apa yang berlaku di Selangor katanya, merupakan persamaan bibit-bibit awal kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada tahun 2009 lalu. Ngeh yang juga bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak menjelaskan, SUK Perak ketika itu, Dato' Dr Abdul Rahman Hashim dilantik tanpa mempedulikan pandangan Menteri Besar dan barisan Exco.

"Semasa pelantikan SUK Perak dahulu, kami telah cuba mempertikaikan tindakan Kerajaan Pusat yang melakukannya tanpa menimbang terlebih dahulu pandangan kami sebagai kerajaan negeri. Sekarang ini, selepas mendapat nasihat daripada Penasihat Undang-undang kami sedang memperhalusi masalah ini agar tidak berulang lagi pada masa akan datang," katanya.

Menceritakan keadaan di Perak sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat itu, Ngeh berkata pihaknya mula berasa sangsi dengan kehadiran Abdul Rahman dalam mesyuarat Exco memandangkan setelah ianya berakhir, banyak maklumat hasil perbincangan tersebut diketahui pihak Umno-BN.

"Setiap kali mesyuarat exco diadakan selepas beberapa minit sahaja, segala maklumat termasuk masalah-masalah dalaman didapati telah bocor kepada pihak lawan. Ia secara tidak langsung telah menjejaskan strategi dan pelan kerajaan negeri selain memudahkan Umno-BN menjalankan sabotaj Pakatan Rakyat," ujarnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP Kebangsaan menegaskan perlantikan SUK tersebut melanggar semangat federalisme selain tidak menghormati kerajaan negeri yang sedang mentadbir. "Kerajaan Pusat hendaklah hormat kepada kerajaan di negeri tersebut, kerana kedudukan SUK sebagai kuasa eksekutif dalam negeri itu sepatutnya boleh bekerjasama dengan menteri Besar dan kerajaan negeri.

"Kalau Kerajaan Pusat melantik SUK tanpa menghormati Menteri Besar dan barisan Exco ia merupakan tindakan yang melanggar semangat federalisme yang dilaung-laungkan oleh mereka selama ini," katanya lagi. Tegasnya, akibat dari itu, tidak hairanlah keadaan menjadi kacau-bilau dalam sesebuah kerajaan negeri. "Ia disebabkan terdapat individu yang bertentangan dengan kerajaan negeri yakni dalam barisan Exco," ujarnya lagi.

Tiada ulasan: