Ahad, 30 Januari 2011

Langkah Gobalakrishnan bukan satu kehilangan, kata Tian Chua

BERNAMA

LABIS — Keputusan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat bebas sudah dijangkakan, kata naib presiden PKR Tian Chua.

Menyifatkan Gobalakrishnan sebagai anggota yang tidak menjalankan kerja, katanya, bekas naib presiden itu cuba “melarikan diri” daripada dikecam kerana mengkritik kepimpinan parti secara terbuka.

“Kami sudah merancang untuk menggantung dia daripada parti kerana mengkritik. Orang seperti dia bukan satu kehilangan bagi parti,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tian Chua ( GAMBAR ) berkata, ketika parti itu tergesa-gesa membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum 2008, mereka mendapat ramai calon yang tidak cukup kompeten dan Gobalakrishnan adalah salah seorang daripada mereka.

Pada sidang akhbar di Kulim, Kedah, pagi ini, Gobalakrishnan, 50, mengumumkan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu dan kini menjadi Ahli Parlimen bebas berkuat kuasa serta merta.

Dalam pada itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PKR ibarat “Parti Kian Runtuh” apabila seorang demi seorang pemimpin pengasas parti itu keluar dan meninggalkannya.

Menurut beliau, kebanjiran keluar pemimpin parti itu daripada PKR membuktikan kepercayaan kepimpinan dan masyarakat terhadap parti itu semakin menurun.

“PKR itu adalah Parti Kian Runtuh, semua pemimpin utama yang mengasaskannya telah keluar. Itu petanda perjuangan PKR tidak didukung bukan sahaja oleh pemimpinnya tetapi juga rakyat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dapat mengambil pengajaran daripada keruntuhan PKR, kerana PAS bersekongkol dengan PKR di bawah bendera pakatan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau menjangkakan lebih ramai pemimpin PKR akan meninggal parti pembangkang itu tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Noordin berkata beliau menjangka beberapa lagi wakil rakyat dan kepimpinan kanan PKR akan keluar daripada parti itu.

Beliau berkata tindakan Gobalakrishnan membuktikan bahawa jangkaan beliau sebelum ini adalah tepat.

“Perisytiharan yang dibuat oleh Gobalakrishnan tadi sudah lama teman (saya) jangka, malah teman sudah pun membuat kenyataan sebelum ini bahawa beberapa orang wakil rakyat dan kepimpinan kanan PKR akan mengambil tindakan keluar, cuma masa dan cara sahaja yang berbeza.

“Teman (saya) tahu ada beberapa orang lagi anggota Parlimen (termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri), kepimpinan kanan parti yang akan mengambil langkah yang sama tidak lama lagi.

“Masing-masing menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk bertindak sedemikian,” katanya dalam blog beliau www.zul4kulim.blogspot.com di sini hari ini.

Tiada ulasan: