Sabtu, 15 Januari 2011

Langat 2: Selangor kaji menyeluruh sebelum beri ‘lampu hijau’

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM — Kerajaan Selangor akan melaksanakan kajian menyeluruh dan terperinci berhubung projek Loji Rawatan Air Langat 2 sebelum memberikan persetujuan “penuh” kepada kerajaan pusat untuk membinanya.

Loji tersebut merupakan salah satu komponen dalam projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pegawai-pegawai kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi meneliti unsur-unsur teknikal Projek Langat 2 sama ada ia memanfaatkan rakyat Selangor ataupun sebaliknya.

“Sebelum kerajaan negeri memberi kelulusan sepenuhnya terhadap Langat 2, butir-butir terperinci rancangan kerajaan persekutuan mesti diteliti dengan rapi,” katanya.

Kenyataan itu berkata kerajaan negeri berpendirian isu air di Selangor mesti ditangani secara holistik, termasuk pembinaan loji baru dan pengurusan aset-aset dan industri air di negeri itu.

“Pada masa yang sama, kami berharap kerajaan persekutuan akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk penyelesaian isu penyerahan semula pengendalian industri air kepada kerajaan negeri,” kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan itu.

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata Kerajaan negeri Selangor pada Disember lalu telah berjanji akan memberikan kebenaran kepada kerajaan persekutuan untuk membina Loji tersebut.

Beliau bagaimanapun dilaporkan berkata kementerian itu masih menunggu kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri yang dijangka akan diberikan dalam bulan ini.

Tiada ulasan: