Selasa, 4 Januari 2011

Kontrak Kuin: Pemuda BN buat laporan SPRM

BERNAMA

Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Kedah hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa berlaku penyelewengan dalam pemberian kontrak pembinaan kampus Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

Pengerusi Pemuda BN Kedah Badrol Hisham Hashim berkata laporan itu dibuat memandangkan tindakan kerajaan negeri yang didakwa memberi projek pembinaan fasa kedua secara terus kepada sebuah syarikat dan bukan melalui tender.

"Tindakan kerajaan negeri itu telah mencabuli janji kerajaan PAS dalam manifesto pilihan raya umum ke-12 lalu, memberi projek melalui sistem tender," katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan itu di Pejabat SPRM di Alor Setar.

Badrol Hisham mendakwa enam kontraktor yang disenaraikan untuk bidaan tender bagi fasa kedua projek itu telah diketepikan oleh kerajaan negeri, sebaliknya projek itu diserahkan kepada sebuah syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Kampus Kuin yang kini dalam pembinaan di Kuala Ketil, Baling menelan kos bernilai RM330 juta dan dijangka siap pada 13 September 2012.

Anak syarikat kerajaan negeri, Kedah Sato Sdn Bhd dipertanggungjawabkan membina kampus berkenaan bagi fasa pertama dan bagi fasa kedua pula akan diberikan kepada syarikat melalui bidaan tender.

Badrol Hisham turut mendakwa peletakan jawatan Pengerusi Syarikat Kedah Sato Sdn Bhd, Datuk Mahfuz Omar pada 29 Disember lalu, adalah disebabkan rasa tidak puas hati mengenai pemberian kontrak berkenaan secara tidak adil.

"Saya percaya beliau (Mahfuz) melepaskan jawatan itu disebabkan tidak sanggup melihat kezaliman pentadbiran dan sebagai satu protes ketidakadilan kerajaan negeri dalam pemberian tender itu," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap Menteri Besar tampil dan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung isu berkenaan.


Tiada ulasan: