Selasa, 4 Januari 2011

Khoo Kay Kim tidak layak terajui Unisel, kata MPP

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Industri Selangor (Unisel) menolak cadangan supaya pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dilantik sebagai canselor baru universiti itu yang kini kosong.

Ini kerana menurut Presiden MPP Azim Md Kasim, pendirian Khoo dalam beberapa isu yang membabitkan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sejak kebelakangan ini tidak selari dengan kehendak golongan tersebut.

“MPP Unisel menolak cadangan untuk melantik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sebagai canselor bagi menggantikan Datin Seri Rosmah Mansor (isteri Perdana Menteri).

“MPP Unisel menolak cadangan ini berdasarkan pendirian Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berhubung beberapa isu pelajar sejak kebelakangan ini, malah pendirian beliau menolak cadangan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk benarkan pelajar berpolitik dianggap tidak selari dengan pendirian pelajar.

“Bahkan pendirian beliau juga diyakini bertentangan dengan pendirian Pro Mahasiswa di Unisel dan di peringkat nasional yang memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa juga autonomi kampus,” kata dalam satu kenyataan hari ini yang merujuk kepada cadangan Pro Mahasiswa Unisel yang mahu Khoo dilantik sebagai canselor pusat pengajian tinggi itu.

“Justeru MPP Unisel merasakan bahawa Prof Emeritus Tan Sri Khoo tidak layak untuk diangkat sebagai canselor oleh kerana tidak mengiktiraf suara dan hak kebebasan mahasiswa juga sejarah pergerakan mahasiswa di Malaysia,” kata Azim.

Semalam Pro Mahasiswa Unisel mencadangkan Khoo dilantik sebagai canselor baru bagi menggantikan Rosmah yang mengambil keputusan melepaskan jawatan itu.

Pada 20 November lepas, Rosmah mengumumkan pengundurannya sebagai Canselor Unisel bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program Permata dan kemudian pengunduran itu diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kumpulan pelajar itu turut menolak mana-mana individu dilantik sebagai canselor yang mempunyai latarbelakang politik sama ada dari Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.

Azim juga berkata satu perbincangan akan diadakan dengan kesemua pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti dan Kolej bagi membincangkan perkara itu.

“Sehubungan dengan itu MPP Unisel akan mengadakan perbincangan dengan kesemua pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti dan Kolej sebelum mengemukakancadangan untuk dibawa kepada Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan mendapat perkenan Sultan Selangor.

“MPP Unisel berharap semua pihak berlapang dada untuk menerima kritikan dan juga cadangan. MPP Unisel juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana kumpulan pelajar serta pentadbiran Unisel dalam usaha memastikan masa depan universiti,” katanya.

Sebelum ini kerajaan negeri Selangor dicadang melantik bekas timbalan presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali sebagai Canselor Unisel ketika Kongres Nasional PKR dua bulan lalu.

Wakil Srikandi PKR Farah Afzan Faridi berkata Syed Husin merupakan calon terbaik untuk jawatan Canselor Unisel dan memohon agar Khalid mempertimbangkan cadangan ini.

Namun Syed Husin menolak cadangan tersebut.

Tiada ulasan: