Rabu, 12 Januari 2011

Khalid tak perlu lepas jawatan jikapun pindaan gagal, kata pakar

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak perlu melepaskan jawatannya sekalipun usaha meminda perlembagaan negeri mengalami kegagalan disebabkan ketiadaan sokongan majoriti dua pertiga, kata pakar perlembagaan.

Prof A Aziz Bari berkata, Khalid tidak perlu berbuat demikian kerana seseorang menteri besar seperti juga perdana menteri dan ketua menteri hanya perlu meletakkan jawatan jika sudah kehilangan sokongan majoriti anggota dewan.

“Ini diwajibkan oleh perlembagaan, baik persekutuan mahu pun negeri.

“Ini sebenarnya yang menentukan sama ada ketua kerajaan perlu meletakkan jawatan, bukan soal kegagalan mendapat kelulusan undang-undang di Dewan,” kata beliau.

Pandangan ini diberikan ketika timbul cakap-cakap bahawa Khalid (gambar), menteri besar penggal pertama, perlu melepaskan jawatannya lebih-lebih ramai berpandangan bahawa usaha meminda perlembagaan tidak berjaya kerana Pakatan Rakyat tidak cukup sokongan dua pertiga.

Perkara itu menjadi sebutan di kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat dan juga pembangkang negeri iaitu Barisan Nasional.

“Orang keliru kerana ada yang menyebut konvensyen atau amalan perlembagaan di United Kingdom (UK),” katanya lagi.

Kata beliau, aspek itu tidak relevan di Malaysia memandangkan di UK konvensyen atau amalan seperti itu penting kerana negara berkenaan tidak mempunyai perlembagaan bertulis.

“Di negara kita, ia dinyatakan dengan jelas, bila ketua kerajaan sudah hilang sokongan majoriti, dia kena letak jawatan,” katanya lagi.

Malah jelas beliau, pindaan perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga, bukan majoriti mudah yakni lebih sedikit daripada separuh.

“Gagal mendapat kelulusan Dewan tidak mengapa kerana setakat ini tidak ada tanda yang komponen Pakatan akan ada yang membelot.

“Umno-BN boleh bawa usul undi tidak percaya ke Dewan dan kita lihat sama ada ia disokong oleh majoriti,” kata beliau lagi.

Kata beliau situasi di Selangor tidak sama dengan keadaan di Dewan Rakyat pada Disember 2009 apabila kerajaan BN hampir-hampir kalah dalam meluluskan Bajet 2010.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini menambah bahawa yang jelas Whip tidak akan memberi kebebasan kepada ahli parti untuk mengundi sendiri dan “mereka perlu ikut cakap dan arahan Whip.”

Katanya, apabila Umno diharamkan oleh mahkamah pada 1987, perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kesemua ahli Parlimen BN untuk datang ke Parlimen mengisytiharkan sokongan kepada diri beliau.

“Mungkin Adun Pakatan akan melakukan hal yang sama di DUN Selangor dan ini akan mengukuhkan kedudukan Khalid sebagai menteri besar,” katanya lagi.

Sidang khas Dewan Undangan Negeri Selangor yang antara lainnya dijangka untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 akan diadakan pada 24 Januari ini.

Speaker Datuk Teng Chang Khim telah mengarahkan supaya surat pekeliling pemberitahuan dikeluarkan kepada semua Adun Selangor bagi memaklumkan bahawa persidangan itu akan bermula pada 10 pagi, demikian menurut satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, sidang berkenaan diadakan selepas Teng berpuas hati dengan alasan Menteri Besar bahawa ia adalah untuk kepentingan awam.

Urusan perkara mesyuarat dan kertas mesyuarat akan diedar kepada semua Adun kemudian selepas ia ditetapkan oleh Khalid.

Kerajaan negeri telah melantik Aziz dan peguam Datuk Param Cumaraswamy bagi menyediakan draf pindaan Seksyen 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang bertujuan mengembalikan kepada Sultan dan negeri, kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang ini yang kini terletak pada pertadbiran pusat.

Isu berkenaan tercetus ekoran bantahan kerajaan Selangor terhadap pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Tiada ulasan: