Jumaat, 21 Januari 2011

Ketua kampung sokong Sultan Selangor

Ismail Hashim

KLANG: Sekitar 600 mewakili ketua kampung seluruh Selangor berhimpun di Masjid Jamek Sultan Sulaiman, Kampung Jawa seusai menunaikan solat Jumaat tadi bagi menyatakan sokongan padu Kebawah Baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Himpunan Menjunjung Kasih Rakyat itu kemudiannya bergerak ke Istana Alam Shah untuk menyerahkan memorandum taat setia dan menjunjung kasih dalam usaha memertabatkan institusi raja berperlembagaan.

Menurut Adun Meru, Dr Abd Rani Osman, memorandum kepada pihak istana tadi telah diterima oleh salah seorang pegawai peribadi Sultan, Mejar Ramli yang menyambut kehadiran peserta himpunan dengan girang.

Turut berada di lstana Alam Shah ketika penyerahan memorandum itu adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Haji Khalid Samad, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman dan Wakil Ketua Kampung Seluruh Selangor yang juga Ketua Kampung Bukit Kapar, Haji Shafie Sulaiman.

Difahamkan himpunan itu diadakan ekoran sidang Dun Selangor yang akan diadakan pada 24 Januari ini dalam usaha Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang berusaha mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan tiga pegawai kanan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tiada ulasan: