Sabtu, 29 Januari 2011

Kesihatan suami: Normala seru tanya doktor

Harakahdaily

LABIS: Calon PAS bagi PRK Tenang, Normala Sudirman mahu semua pihak merujuk kepada doktor yang mengeluarkan cuti sakit kepada suaminya, sebelum membuat sebarang spekulasi.

Menurutnya, jawapan dari doktor berkenaan adalah lebih wajar kerana hanya doktor tersebut sahaja mengetahui kenapa suaminya Maarof Abdul Mutalib wajar diberi cuti.

"Saya rasa lebih baik media bertemu doktor yang mengeluarkan surat, kerana sebagai doktor dia lebih profesional dan tahu kenapa surat dikeluarkan kepada pesakitnya," katanya pada sidang media PAS di Tenang hari ini.

Beliau membuat gesaan demikian sebagai menjawab laporan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia hari ini yang memaparkan tajuk 'Suami Normala sakit kritikal?'.

Laporan itu mempersoalkan status kesihatan Maarof kerana mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.

Selain akhbar, beberapa blog turut mempersoalkan status Maarof kerana bercuti cuti sakit yang panjang.

Malah sijil sakit itu juga disiarkan di sebuah blog berkenaan dan laporannya membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius.

Laporan tersebut juga menjadikan persoalan sekitar status kesihatan suaminya itu menjadi fokus utama soalan wartawan, apatah lagi Maarof tiada bersama Normala pada kempen pagi tadi.

Bagaimanapun menurut Normala, suaminya terpaksa menyelesaikan satu tugas lain dan tidak dapat menemaninya pada kempen hari ini.

Tambah Normala, gambaran 'terlantar' yang diberikan media berhubung status kesihatan suaminya juga adalah tidak tepat.

"Istilah sakit itu bukan terlantar, kita dah jelaskan pagi tadi oleh pihak operasi...Media lebih baik tanya doktor," ulangnya lagi setelah diaju bertubi-tubi wartawan.

"Setakat ini keadaannya ok insyaAllah, emosinya stabil dan ok.

Sepanjang pengetahuannya kata Normala, suaminya itu seorang yang jarang mengambil cuti, selain kerap menghantar pelajar bermain hoki pada setiap Sabtu dan Ahad.

Sehubungan itu katanya, apa yang dilaporkan media hanya spekulasi dan berharap media melaporkan dengan tepat.

Tiada ulasan: