Jumaat, 7 Januari 2011

Kes Teoh: S'jaya diraja tidak siasat punca kematian


Salhan K Ahmad

Kerajaan akan menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat sama ada wujud pencabulan hak asasi dalam proses soal siasat mendiang Teoh Beng Hock, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. NONE

Suruhanjaya yang akan diwujudkan dengan terma-terma khusus itu, akan "meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang digunapakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.


Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini, Najib berkata, panel suruhanjaya berkenaan akan diumumkan selepas mesyuarat kabinet pada Rabu depan.

Beliau berharap, siasatan oleh suruhanjaya itu akan dapat menyelesaikan kes tersebut. "Suruhanjaya ini akan diwujudkan selama tempoh masa tiga bulan selepas satu tauliah pelantikan Pesuruhjaya dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Najib juga berkata, suruhanjaya itu akan ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119). NONEPeruntukan itu memberi kuasa kepada suruhanjaya berkenaan untuk menyiasat SPRM dan "kelakuan mana-mana pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia."

"Tempoh suruhanjaya itu juga boleh dilanjutkan untuk tempoh masa sepertimana dibenarkan di bawah Seksyen 5 Akta 119," katanya.

AG fail semakan keputusan

Dalam perkembangan berkaitan, peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi menyemak keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner sebelum ini.

Mahkamah koroner pada Rabu lalu membuat penghakiman terbuka berhubung inkues Teoh - iaitu beliau bukan bunuh diri mahupun dibunuh.

Mengulas perkembangan itu, Najib berkata: "Sudah tentulah peguam negara tidak gembira dengan penghakiman (inkues) dan mahu ia dirujuk ke mahkamah lebih tinggi untuk menyemak keputusan itu," katanya.

Oleh demikian, menurut Najib, punca kematian Teoh tidak akan dimasukkan dalam terma-terma khusus penubuhan suruhanjaya diraja berkenaan.

"Bagaimanapun, kerajaan akan meneruskan keputusan yang telah dibuat sepertimana yang saya nyatakan pada 17 Julai 2009 untuk wujudkan suruhanjaya diraja," katanya lagi.

Perkara sebenar

Dalam Tambahnya, kerajaan bersimpati dengan apa yang telah dilalui oleh keluarga Teoh. "Apa yang penting adalah untuk mengetahui perkara sebenar (yang berlaku terhadap Teoh). "Kita harap mereka akan benarkan proses ini berlaku dan kita harap akan dapat pastikan (establish) apa yang sebenarnya berlaku," katanya lagi ketika ditanya.

NONEMenurut perdana menteri lagi, beliau juga sedia menemui keluarga Teoh tetapi tidak pasti bila.

Pelbagai pihak kesal kerana setelah lebih setahun berlalu, punca kematian pegawai politik kepada seorang exco Selangor itu masih menjadi misteri.

Teoh, 30, dijumpai mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima koridor Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoalsiasat oleh SPRM Selangor yang pejabatnya terletak di tingkat 14 bangunan yang sama.

Tiada ulasan: