Isnin, 31 Januari 2011

Kes Teoh: Sebutan semakan didengar 17 Februari

BERNAMA

SHAH ALAM — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 Februari untuk sebutan bagi permohonan semakan kehakiman oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung keputusan Koroner yang merumuskan kematian Teoh Beng Hock sebagai keputusan terbuka.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak dan beliau hanya membenarkan pihak pendakwaan dan keluarga Teoh sahaja berhujah berkaitan permohonan itu.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kerajaan Negeri Selangor dan Badan Peguam dibenarkan bertindak sebagai pemerhati sahaja.

“Saya rasa yang terlibat secara terus adalah keluarga si mati. Dalam inkues sebenarnya melibatkan polis yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya dan koroner akan membuat keputusan tetapi di dalam kes ini saya beri hak kepada keluarga si mati kerana anak mereka telah meninggal dunia dan ini menjadi saluran untuk melahirkan rasa terkilan,” katanya.

Semasa inkues, kesemua pihak terbabit dibenarkan oleh Koroner Azmil Muntapha Abas untuk berhujah serta menyoal balas saksi sepanjang prosiding.

Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 Plaza Masalam di sini.

Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Teoh bermula pada 29 Julai 2009 ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Di awal prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan tetap meneruskan permohonan itu walaupun pihak kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang akan bersidang 14 Februari ini.

Katanya permohonan tersebut dibuat pada 7 Januari lalu dan keputusan untuk penubuhan Suruhanjaya Diraja dibuat selepas itu iaitu pada 26 Januari.

Bagaimanapun, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memohon keputusan itu dikaji semula kerana Suruhanjaya Diraja berkemungkinan akan menyiasat perkara sama yang turut melibatkan siasatan terhadap kematian dan perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh.

Berikutan kenyataan Gobind itu, hakim memerintahkan tarikh sebutan ditetapkan selepas sidang pertama Suruhanjaya Diraja berlangsung bagi mengetahui skop siasatan.

Tiada ulasan: