Sabtu, 22 Januari 2011

Kes royalti: Kelantan mahu kekal didengar di bahagian komersial


Husam berkata kerajaan negeri Kelantan tidak menetapkan jumlah tuntutan yang dibuat untuk kes saman
KUALA LUMPUR — Kerajaan Kelantan akan mengambil tindakan-tindakan yang perlu bagi membolehkan kes royalti minyak terhadap Petronas, yang dibawa Ogos lalu, kekal didengar di bahagian komersial Mahkamah Tinggi.

Kerajaan PAS dikatakan kecewa apabila mengetahui yang tuntutan ke atas syarikat minyak nasional secara tiba-tiba dipindahkan ke bahagian sivil Mahkamah Tinggi untuk didengar Selasa lalu tanpa permohonan mana-mana pihak yang terbabit.

Sumber yang rapat dengan kerajaan negeri berkata, pihaknya akan membuat aduan kepada hakim perbicaraan mahkamah sivil dan meminta supaya ia dipindahkan semula ke bahagian komersial apabila ia didengar kelak.

“Mereka tidak boleh buat apa-apa sekarang sebab ia satu keputusan pentadbiran dan bukannya keputusan kehakiman,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Empat hari lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memaklumkan kerajaan Kelantan bahawa kes itu kini dipindahkan ke bahagian sivil tetapi tidak menamakan hakim perbicaraan dan juga tarikh bagi pendengaran kes.

Peguam Tommy Thomas, yang bertindak bagi Kelantan, memberitahu bahawa negeri itu ada hak sebagai plaintif untuk memutuskan mahkamah yang mereka hendak memfailkan kes mereka.

“Saya tidak tahu sebab pemindahan dari bahagian komersial ke bahagian sivil. Kerajaan Kelantan tidak membuat apa-apa permohonan untuk pemindahan sedemikian; mengikut pengetahuan kami, begitu juga Petronas,” kata beliau The Malaysian Insider semalam.

Thomas menambah, pelanggannya telah memikirkan dengan mendalam apabila ia memilih bahagian komersial Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sedangkan ia boleh berbuat demiian di Mahkamah Tinggi Kota Baru.

Kata beliau, Petronas selaku defendan boleh memohon untuk memindahkan kes itu ke mana-mana bahagian lain tetapi perlu ada permohonan bertulis kepada Mahkamah Tinggi dan juga memaklumkan kerajaan Kelantan secara formal.

“Kami tidak menerima sebarang kertas mahkamah daripada Pertonas meminta pemindahan kes itu,” kata seorang peguam.

Kes itu ditetapkan untuk didengar di bahagian komersial selepas difailkan pada 30 Ogos lalu. The Malaysian Insider difahamkan keadaan itu wujud selepas kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk mencelah dalam pertikaian tersebut.

Dalam permohonannya, Kelanan hanya menamakan Petronas sebagai defendan.

Malah, The Malaysian Insider juga difahamkan hakim asal kes itu juga telah dipindahkan ke Pulau Pinang. Hakim Nalini Pathmanathan, yang juga hakim bahagian komersial, kemudian dilantik untuk mendengar permohonan Putrajaya bagi mencelah, Isnin lalu.

Sabtu lalu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, Putrajaya telah memfailkan permohonan mahu campur tangan dengan dibenarkan menjadi defendan kedua dalam kes royalti minyak dibawa kerajaan negeri Kelantan Ogos lalu.

Permohonan itu akan didengar pada 27 Januari ini, kata beliau, Husam, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, menambah, pentadbiran Najib seolah-olah mahu “membantu” Petronas agar tidak “keseorangan” menghadapi kes itu.

Pada 30 Ogos lalu, kerajaan negeri Kelantan memulakan tindakan perundangan dengan memfailkan saman terhadap Petronas mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 setahun sejak 2005.

Menurut kerajaan negeri Kelantan, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga mendakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kes difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kerajaan Kelantan mengambil keputusan muktamad pada 25 Ogos lalu untuk mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu — di sempadan Thailand-Kelantan.

Sebelum ini, Husam berkata dalam kes saman itu kerajaan negeri tidak menetapkan jumlah tuntutan yang dibuat dan terserah kepada mahkamah untuk menentukannya.

Writ saman itu dikemukakan atas nama Petronas dan bukannya kerajaan Malaysia.

Tiada ulasan: