Khamis, 27 Januari 2011

Kenyataan Muhyiddin, Noh dangkal

FREE MALAYSIA TODAY

Setiausaha Politik Khalid Ibrahim membidas pemimpin BN terbabit kerana mahu menteri besar Selangor meletak jawatan.


PETALING JAYA: Pemimpin Barisan Nasional yang mahu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim meletak jawatan ekoran gagal mendapat undi 2/3 majoriti dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) isnin lalu disifatkan mengeluarkan kenyataan dangkal.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin, berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar adalah tanpa berpandukan fakta dan undang-undang.

“Malang sekali ia dikeluarkan oleh seorang yang masing-masing bergelar Timbalan Perdana Menteri dan menteri kanan Persekutuan.

“Pelajar undang-undang pun maklum bahawa mengikut Perlembagaan, hanya satu sebab untuk memaksa seorang ketua kerajaan meletakkan jawatan. Ini disebut dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana apabila ketua kerajaan berkenaan hilang sokongan majoriti dalam Dewan.

“Peruntukan yang sama diulang oleh semua undang-undang tubuh negeri di Malaysia. Jelas di DUN Selangor pada 24 Januari lalu, Khalid masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli DUN

“Ia bukan sekadar majoriti mudah atau majoriti biasa walaupun ia bukan majoriti dua pertiga. Sokongan yang miliki Khalid ialah 34 daripada 55 ahli Dewan,” katanya.

Menurut Faekah, kedua-dua menteri terbabit sanggup merendahkan tahap pengetahuan ekoran Umno mahu lari dari isu utama iaitu untuk mempertahankan kedaulatan.

Ujar beliau, kerajaan negeri sentiasa bersangka baik dan komited untuk mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-raja namun Umno-BN hanya “menanam tebu di bibir”.

“Mereka hipokrit, bertopengkan ‘rakyat didahulukan’ dan ‘daulat tuanku’ namun membenarkan kedaulatan negeri dirobek Persekutuan dan menyokong Raja hanya apabila ia sesuai dengan kepentingan mereka.

“Lebih mengecewakan apabila wakil-wakil rakyat mereka menunjukkan mutu pemikiran dan hujah yang sangat rendah. Apatah lagi bukan sahaja rakyat Selangor yang melihatnya tetapi seluruh dunia kerana sidang mesyuarat tersebut disiar secara langsung ke seluruh dunia,” katanya.

Tiada ulasan: