Khamis, 13 Januari 2011

Kempen: SPR akui tindakan Markom salah

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui, sememangnya menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang jika seseorang kakitangan awam berkempen dan secara terbuka meminta mereka yang hadir pada sesuatu majlis mengundi sesuatu parti yang bertanding dalam sesuatu pilihanraya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof menjelaskan, pegawai kerajaan tidak boleh menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti politik.

Menurut beliau, sebaliknya, setiap kakitangan kerajaan mesti mengenepikan pandangan dan pendirian politik masing-masing dan menjaga profesional serta sentiasa bersikap berkecuali.

Katanya, bagaimanapun, tidaklah pula menjadi satu kesalahan untuk kakitangan awam menjayakan dasar atau program kerajaan negeri.

"Baik Pakatan Rakyat atau BN, pegawai kerajaan perlu setia kepada kerajaan negeri, tidak kira parti mana (yang mentadbir negeri)," katanya.

Tidak salahnya, katanya, jika mereka memaklumkan kepada rakyat mengenai inisiatif kerajaan negeri, tetapi ia berbeza bila seseorang kakitangan awam berkempen dan secara terbuka meminta mereka yang hadir, untuk mengundi, contohnya, BN atau PKR.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes seorang pegawai tinggi kerajaan di Johor yang menggesa para guru menyokong calon BN dalam pilihan raya kecil Dun Tenang yang akan berlangsung 30 Januari ini.

Pengarah Pelajaran Negeri Johor, Markom Giran baru-baru ini, iaitu bukan dalam tempoh berkempen didapati telah menyalahgunakan kuasa dengan memberi tekanan kepada semua Pengetua dan Guru Besar dalam Dun Tenang agar mengundi Barisan Nasional sedangkan SPR menetapkan hari penamaan calon pada 22 Januari.

Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman menjelaskan, berdasarkan bukti-bukti yang dikumpulkannya, Markom juga jelas telah memberi tekanan kepada guru-guru kaunseling daerah Segamat agar berkempen dan mengundi Barisan Nasional dalam PRK N.05 Dun Tenang.

Selain itu, Markom juga telah berkempen kepada guru-guru di SMK Munshi Ibrahim Labis, SK Kg Tenang, SK Pekan Air Panas, SK Felda Chemplak dan SMK Tenang Station agar mengundi Barisan Nasional.

Markom adalah penjawat Awam, DG 54 yang kini memangku Jusa C. Mengikut Peraturan 21, melarang Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi, kumpulan Pengurusan dan Profesional mengambil bahagian dalam parti politik secara khusus. Jika dilakukan kesalahan itu, individu terbabit boleh dirujuk kepada tindakan tata tertib, surat tunjuk sebab dan ditahan kenaikan pangkat.

Sehubungan itu, PAS Johor semalam telah membuat laporan polis terhadap Markom dan turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas penyalahgunaan kuasa yang telah dilakukan oleh beliau itu.

Tiada ulasan: