Sabtu, 29 Januari 2011

Kempen penerangan untuk rakyat digerakkan

SELANGOR KINI

SHAH ALAM– Tujuan Kerajaan Negeri mengadakan kempen penerangan kepada rakyat berhubung kewajaran Sidang Khas Dewan Undangan Negeri, adalah bagi mengembalikan keadilan kepada negeri, apabila hak ini telah dicabul oleh UMNO-BN khususnya di negeri Selangor.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kempen yang diadakan bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai keputusan berhubung sidang yang diadakan baru-baru ini.

“Kita akan kempen seluruh Selangor untuk mendapat sokongan rakyat, kita juga akan kempen di seluruh negara supaya kuasa federalisme ini dapat diberi keadilan kepada negeri-negeri,” katanya.

Beliau menambah, usaha yang dilakukan kerajaan Negeri adalah semata-mata ingin memulangkan hak kepada rakyat dan bukan kepentingan politik.

“Jadi perbahasan kita akan menjadi tajuk perbahasan dan penerangan kita bahawa reformasi yang kita bawa untuk rakyat Malaysia ialah menunjukkan kita ini memberi kuasa kembali kepada rakyat,” katanya lagi.

Sebelum ini Khalid mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mengadakan penerangan kepada rakyat berhubung kewajarannya Sidang Khas Dewan Undangan Negeri yang akan diadakan dalam siri ‘road show’ bermula Februari hingga April.

Acara kemuncak siri penerangan berkenaan bakal diadakan pada 8 Mac 2011 sempena ulang tahun ke tiga pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) bermula dari 8 Mac 2008 setelah memenangi Pilihan Raya Umun ke 12.

Khalid berkata, sesi penerangan ini akan disertai kepimpinan Kerajaan Negeri dalam memberi penerangan kepada rakyat.

Tiada ulasan: