Selasa, 25 Januari 2011

Kelemahan urus tadbir penyebab defisit, kata Anwar

Kelemahan-kelemahan itu menyebabkan kerajaan menggunakan alasan kekurangan dana dalam pemberian subsidi yang akhirnya rakyat menerima kesan tersebut.


SHAH ALAM: Penasihat Ekonomi Negeri Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara mengalami defisit bukan disebabkan ekonomi pasaran sebaliknya kelemahan urus tadbir kerajaan sehingga mengakibatkan pengurangan subsidi kepada rakyat.

Menurut Anwar, kerajaan tidak menjalankan dasar yang baik dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Malah Anwar berkata kelemahan urustadbir itu turut memberi impak negatif dalam daya saing ekonomi berbanding negara-negara Asia lain.

Katanya, disebabkan kelemahan-kelemahan itu kerajaan menggunakan alasan kekurangan dana dalam pemberian subsidi yang akhirnya rakyat menerima kesan tersebut.

“Masalahnya bukan ekonomi pasaran malah tiada negara yang menolak ekonomi tersebut. Ini kerana negara tiada tata kelola yang baik, kedua tiada dasar yang menjamin kesejahteraan rakyat. Jika buat tindakan menyeluruh pun kita akan kecundang.

“Kita tidak dapat bertahan untuk terus bersaing, kita tewas untuk tarik pelabur. Pertama kali tahun 2010 kita kalah dengan Filipina. Adakah ini perancanaan konspirasi? Sebab kita ada APCO yang membantu.Apa alasan? Dana tidak cukup dan beban ekonomi akhinya berbalik kepada rakyat,” katanya ketika pembentangan ‘Subsidi: Bebanan Negara atau Bebanan Rakyat’ di Kelab Shah Alam hari ini.

Merujuk kepada penyelidikan CIMB, Anwar berkata golongan berpendapatan RM1,500 ke bawah menerima kesan besar sekiranya pengurangan subsidi berlaku.

Golongan tersebut jelas beliau dibebankan dengan pelbagai sewa termasuklah dan pinjaman pinjaman rumah, kenderaan, bahan api dan makanan.

“Sewa dan makanan itu asas dan ia adalah 80 peratus daripada pendapatan mereka. 20 peratus yang lain-lain untuk mereka beli akhbar Suara Keadilan dan Harakah…jangan beli Utusan sudah,” katanya sambil berseloroh.

Anwar turut mendedahkan mengenai dana haram yang dikeluarkan negara sehingga mencecah RM200 bilion setahun dan melonjak Malaysia d itangga kelima dunia.

Beliau berkata dana haram ini diperoleh daripada rasuah serta kegagalan individu membayar cukai.

“Ini bukan laporan Pakatan tapi laporan Financial Watchdog Global Financial Integrity berpusat di US (GFI). Dana haram dikeluarkan Malaysia dalam masa singkat naik melonjak ke tangga kelima dari segi jumlah sedangkan ekonomi kita kecil. Dana haram keluar jadi besar.

“Jika ada tata kelola yang baik perkara ini akan disisat. Wang dicuri daripada cukai itu dikekalkan, sekarang belum ada penjelasan daripada Menteri Keewangan Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah,” katanya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Tiada ulasan: