Jumaat, 21 Januari 2011

Kecam Mahathir: Melayu Singapura takut untuk bersuara, dakwa Perkasa



Ibrahim menegaskan beliau merasakan pandangan pembaca-pembaca itu tidak mewakili masyarakat Melayu di Singapura.

KUALA LUMPUR – Orang Melayu Singapura takut untuk menyuarakan rasa tidak senang mereka walaupun ketinggalan dan berhadapan dengan masalah dipinggirkan dalam arus pembangunan republik itu, kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali hari ini.

Semalam Bernama melaporkan bekas perdana menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjadi topik hangat apabila lasan-ulasannya mengenai nasib Melayu Singapura menjadi polemik dan mendapat kritikan pedas beberapa orang Melayu setempat.

Akhbar Berita Harian Singapura telah menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lepas yang mengecam Dr Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib Melayu republik itu yang telah terpinggir dan ketinggalan.

“Tiada orang Melayu di Singapura yang berani bercakap mengenai perkara yang sebenar berhubung layanan yang mereka terima,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider dalam satu kenyataan SMS hari ini.

Dalam ruangan forum akhbar itu, seorang pembaca Haji Sallim Haji Ahmad menulis bahawa beliau rasa tercabar mengikuti ulasan Dr Mahathir yang membuat kenyataan yang tidak berasas bahawa Melayu republik itu terpinggir dan tertinggal.

“Inilah hujah kegemarannya yang pedas dan luncas setiap kali mempersoalkan masalah yang menghambat Melayu Malaysia yang belum lagi terpinggir pada logika Dr Mahathir.

“Kekerapan ungkapan yang menjadi sandarannya ialah menegaskan bahawa Melayu Singapura terpinggir sehingga akhir dunia,” kata Sallim.

Katanya, Dr Mahathir yang terbuai dengan populariti di alam siber dan blog suka menggunakan Melayu Singapura sebagai contoh.

Penulis itu juga mempertahankan kedudukan Melayu Singapura dengan menyatakan kaum itu maju tanpa menagih subsidi dan kedudukan agama Islam di sini terpelihara dan berkembang walaupun ia bukan agama rasmi.

“Kita tidak kontang jenayah, tapi yang ditugaskan beramanah. Rasuah di sini wujud, tetapi tahapnya tidak mengejut. Sumbang mahram itu keji, dahsyat lagi buang bayi. Mat Rempit bukan hambatan, tabiat lepak bukan amalan,” ungkap Sallim.

Seorang lagi pembaca, Hajah Kamariah Lim Li Hwa menegur Dr Mahathir bahawa sebelum membuat apa-apa kenyataan tentang orang Melayu Singapura, diharap beliau “menyelidik dulu keadaan kami.”

“Kami orang Melayu Singapura berasa senang hati dan bersyukur kerana pemerintah Singapura menjalankan amanah dengan telus,” katanya.
Bagaimanapun Ibrahim menegaskan beliau merasakan pandangan pembaca-pembaca itu tidak mewakili masyarakat Melayu di Singapura.

“Ia kenyataan yang diada-adakan. Kenyataan itu tidak mewakili suara majoriti orang Melayu di Singapura,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas ini.

“Jadi, jangan memanipulasikan isu. Kita tahu apa yang berlaku,” kata beliau.

Dalam tulisan blognya baru-baru ini, Dr Mahathir menyifatkan nasib Kampung Baru, Kuala Lumpur mungkin sama seperti nasib yang menimpa kampung-kampung Melayu di Singapura sekiranya kerajaan tidak lagi diterajui oleh pemimpin Melayu pada masa akan datang.
Dr. Mahathir berkata, di Singapura kampung-kampung Melayu telah dimusnahkan dan orang Melayu ditempatkan di rumah-rumah pangsa.

Beliau berkata, tujuannya adalah untuk memastikan kehidupan orang Melayu di republik itu tidak lagi dikelilingi oleh kaum serta suku-sakat mereka kerana Singapura mengamalkan dasar mengintegrasikan semua kaum.

Senada dengan Ibrahim, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata, Dr. Mahathir selaku negarawan ada hak untuk membuat kenyataan sedemikian.

“Apa salahnya membuat kenyataan sedemikian?” kata Hamidzun.

“Saya pasti Tun Dr. Mahathir membuat kenyataan ini dengan ikhlas. Beliau melihat perkara itu selaku negarawan yang dengan pengetahuannya yang luas dan (tokoh) berpengalaman dalam komuniti Melayu dan Muslim di rantau Asia,” kata beliau.

Hamidzun juga berkata komen-komen pembaca Berita Harian Singapura juga menunjukkan Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara.

“Ia menunjukkan negara ini menghormati pendapat orang Melayu Singapura yang boleh membalas apa yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir,” kata Hamidzun yang turut merujuk kepada Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew yang banyak kali pernah mengkritik Malaysia.

Tiada ulasan: