Ahad, 23 Januari 2011

Kalau nak debat soal peribadi saya sedia, Anwar cabar Najib



Anwar berceramah di Taman Gunung Emas, Labis malam tadi. — Foto Choo Choy May

LABIS — Datuk Seri Anwar Ibrahim turun membantu kempen PAS-Pakatan Rakyat di Tenang malam tadi dengan mencabar Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai soal peribadi jika perdana menteri terus menyerang soal peribadinya dan tidak sanggup sentuh dasar ekonomi kedua-dua perikatan.

Dua minggu lalu Anwar mencabar Najib agar berdebat berhubung dasar ekonomi kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat termasuk mengenai Buku Jingga.

“Saya cabar debat soal ekonomi tapi beliau (Najib) cakap peribadi, tapi kalau nak debat peribadi saya terima.

“Saya beri ingatan kepada beliau, kalau sebut lagi soal peribadi, saya cabar beliau debat soal peribadi.

“Tapi sekarang adalah soal ekonomi sebab itu saya cabar debat soal ekonomi,” kata Anwar ketika memberikan ceramah di Taman Gunung Emas di sini malam tadi.

Ketika berada di sini awal minggu lalu, Najib berkata Anwar sewajarnya jangan terlalu mendesak untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan ketua pembangkang itu “demam” kelak jika dibongkarkan ketika berdebat.

Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau sebenarnya tidak gentar untuk berdebat dengan Anwar tetapi menyifatkan tindakan berdebat itu hanya akan membuang masa kerana pembohongan ketua pembangkang itu dan kegagalannya menunaikan janji.

“Dah cukuplah pembohongan, janji banyak tak boleh buat, ini nak debat dengan saya pula, buang masa. Saya boleh debat dengan dia, saya tak takut, saya dengan menteri saya tahu segala maklumat.

“Jangan cuba nak cabar saya, kalau saya dedahkan segala-galanya, ada orang yang demam nanti,” katanya.

Gelanggang kempen kerusi DUN Tenang dibuka secara rasmi semalam dengan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon BN dan Pakatan Rakyat.

BN menurunkan Mohd Azahar Ibrahim, 39, iaitu bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mencalonkan Ketua Dewan Muslimat Labis Normala Sudirman, 38.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008.

Anwar, yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Najib berdebat soal ekonomi mengenai Program 100 Hari Pakatan Rakyat, namun ditolak pengerusi BN itu.

Najib berkata Anwar tidak perlu bersusah payah memikirkan soal debat kononnya demi kebajikan rakyat kerana BN akan bertanggungjawab dalam memastikan soal kebajikan rakyat dipelihara.

Selasa lalu, Anwar sekali lagi mencabar Najib agar berdebat dengan beliau berhubung kedudukan ekonomi negara dan juga mengenai Buku Jingga Pakatan Rakyat dengan menulis surat secara formal.

Pada 19 Disember lalu, Pakatan Rakyat menawarkan Program 100 Hari yang terdiri daripada 10 inisiatif jika pihaknya mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Dalam ceramahnya malam tadi, Anwar mempertahankan Program 100 Hari Pakatan Rakyat sambil menyifatkan gabungan tiga parti komponen termasuk PAS dan DAP mampu memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat sekiranya berjaya merampas Putrajaya daripada BN.

“Ini program (100 Hari Pakatan Rakyat) kita buat bukan untuk lima tahun, tapi 100 hari kalau kita perintah (Putrajaya) kita akan laksanakan.

“Perdana Menteri kata kalau Pakatan Rakyat perintah Malaysia akan bankrap, saya tak cabar beliau debat tapi beliau kata kita tidak bertanggungjawab.

“Kalau kita perintah ini yang akan kita lakukan, mana negara akan bankrap... negara bankrap kerana pemimpin curi duit rakyat dan rasuah,” katanya.

Tambah Anwar, sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya barisan kepimpinan parti itu akan memastikan pentadbiran negara akan berjalan dengan baik tanpa amalan-amalan yang tidak baik.

“Jadi pemimpin bagi wang kepada kroni, bila tanya kata jaga rakyat... sebab itu saya ajak Perdana Menteri berdebat tapi beliau mengelak.

“Saya tahu beliau tidak boleh jawab... maknanya kalau kita memerintah kita tidak akan bertolak ansur, kita akan hukum siapa yang terlibat baik orang Melayu, Cina atau India.

“Sebab itu kita yakin kalau boleh perintah kita akan bersihkan dan kembalikan wang rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: