Jumaat, 21 Januari 2011

JLKN serah kepada Polis teruskan siasatan kes potong rambut

BERNAMA


Kelihatan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul Hadi Awang Kechil (kiri) sedang menerangkan keputusan cabutan ke-3 bagi tahun 2010 di Kem PLKN San Shui. — Foto Bernama

TAPAH — Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut berhubung dakwaan seorang remaja lelaki beragama Sikh bahawa rambutnya dipotong semasa sedang tidur di kem program latihan khidmat negara (PLKN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, Ahad lepas.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata pihaknya telah menyerahkan perkara itu kepada polis untuk membuat siasatan lanjut dan mengumumkan hasil siasatan kepada umum.

“Walaupun siasatan dalaman JLKN tidak menemui apa-apa bukti, ia tetap diserahkan kepada polis sebagai pihak yang bertanggungjawab membuat siasatan...siasatan awal kami telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) jabatan yang ditetapkan.

“Siasatan pihak kami sebelum ini melepasi dua tahap iaitu siasatan awal oleh komandan dan jurulatih kem serta diikuti pasukan khas dari ibu pejabat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kem PLKN Sentosa, Chenderian, dekat sini hari ini.

Abdul Hadi berkata remaja terbabit, Basant Singh, 18, yang sedang bercuti, dibenar memanjangkan sedikit masa rehatnya.

“Saya juga benarkan beliau untuk berpindah ke kem lain ataupun menangguhkan sementara program yang diikuti. Saya beri dua pilihan kepadanya tetapi jika ingin terus ke kem asal, itu jalan terbaik,”katanya.

Basant yang membuat laporan polis mengenai kejadian itu Ahad lepas dilaporkan enggan meneruskan latihan kerana trauma dengan insiden yang mengejutkannya kerana dia tidak pernah memotong rambut sejak lahir sebagai mematuhi ajaran agama.

Sementara itu, beliau berkata seramai 83 pelatih Kem PLKN Sentosa yang dikesan menghidap penyakit serupa influenza (ILI) minggu lepas pulih sepenuhnya.

Katanya JLKN yang mendapat bantuan dan sokongan penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mengekang virus H1N1 daripada terus merebak kepada pelatih lain di dalam kem itu.

“KKM memberi kebenaran kepada setiap kem untuk meneruskan program latihan sekiranya terdapat serangan wabak itu dengan mengasingkan pelatih yang dijangkiti ILI... tiada lagi kem yang akan ditutup selepas ini,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 148 mangsa ILI yang kini dirawat di Kem PLKN Sinaran Suria, Sungkai manakala kes lain membabitkan 25 pelatih di Kem PLKN Tegas Kendiri, Kuala Kangsar.

10 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Harap penyiasatan dibuat mengenai perkara ini. Perbuatan memotong rambut budak Sikh ini adalah salah.

Anak Sabah berkata...

Harap pihak polis akan membantu menegak keadilan bagi budak ini.

Unknown berkata...

Semoga polis berjaya menyelesaikan kes ini.

samm berkata...

harap hasil siasatan akan diperoleh dengan cepat agar kes ini dapat diselesaikan.

Tanpa Nama berkata...

kes ini perlu disiasat hingga selesai, perbuatan memotong rambut sikh adalah satu penghinaan kepada mereka. si pelakunya perlu dikesan.

Paquin berkata...

Semoga hal ni dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Paquin berkata...

Betul supra. Si pelaku harus dikesan dan pastikan beliau mendapat hukuman setimpal.

Bujang Senang berkata...

Siasatan harus diteruskan, cari siapa yang memlakukan kesalahan ini. Menyebabkan PLKN menjadi begini.

nickko berkata...

polis perlu sentiasa memberi keutamaan kepada kes seperti ini kerana ia melibatkan sensitiviti perkauman di negara ini. sudah tentu ibubapa mangsa tidak akan berpuas hati dan tidak akan menghantar anaknya ke kem latihan itu jika tidak ada apa2 jaminan berkenaan dengan keselamatan anaknya serta pihak yang melakukan perbuatan itu masih bebas.

elia berkata...

Siasatan susulan harus dilakukan demi untuk menegakkan keadilan. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh.