Jumaat, 21 Januari 2011

Jenazah Adun Merlimau dikebumi hari ini

THE MALAYSIAN INSIDER

Allahyarham akan dikebumikan hari ini di Kampung ChinChin, Melaka selepas solat Jumaat.
MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, yang meninggal dunia malam tadi selepas mengalami serangan jantung sejak Sabtu lalu akan dikebumikan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Putra di sini, Radhuana Salleh berkata Exco Kerajaan Negeri Melaka itu meninggal dunia pada kira-kira pukul 8.10 malam tadi.

Ia membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-15 sejak Mac 2008.

Petang semalam Allahyarham yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa Melaka, berada dalam keadaan koma serta kritikal, dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan semasa dirawat di Unit Kawalan Rapi (ICU) hospital.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika ditemui di hospital itu malam tadi berkata, Allahyarham Mohamad Hidhir disahkan meninggal dunia selepas alat itu menunjukkan tanda mendatar.

“Kerajaan negeri, dan bagi pihak semua rakyat negeri ini mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham,” kata beliau dipetik Bernama.

Allahyarham akan dikebumikan hari ini, kata beliau.

Allahyarham dimasukkan ke hospital itu sejak seminggu lepas bagi membersih arteri yang tersumbat selepas mengadu perutnya tidak selesa sejak kembali dari Taiwan pada 13 Januari lalu.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Sungai Layang, Rembau, Negeri Sembilan dikenali sebagai seorang yang periang dan sentiasa mesra dengan penduduk sekitar kawasan yang diwakilinya.

Dilahirkan pada 27 Jun 1956, Allahyarham pernah bertugas di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai pembantu luar dan jawatan terakhirnya sebagai pegawai seranta di Yayasan Melaka sebelum bertanding pada pilihan raya umum 2004.

Allahyarham yang menjadi Naib Ketua Umno bahagian Jasin sejak 2004 itu, memenangi pilihan raya pertamanya menewaskan S. Jayathas dari PKR dengan majoriti 5,087 undi dan pada pilihan raya lepas, beliau menang dengan majoriti 2,154 mengalahkan pencabarnya, Jasme Tompang dari parti PAS.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Noor Azian Mohd Ali dan empat orang anak yang berada di sampingnya semasa beliau menghembuskan nafas terakhir.

Mohd Ali berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Kampung Tersusun, Lipat Kajang dan akan disembahyang selepas solat Jumaat di Masjid Simpang Kerayong sebelum dikebumi di Kampung ChinChin.

Tiada ulasan: