Sabtu, 15 Januari 2011

Jangan jadikan pertikaian azan isu besar, kata Tsu Koon

TERKINI

KUALA LUMPUR — Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menasihatkan agar pertikaian mengenai isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi, yang membawa kepada protes semalam, tidak dijadikan “isu besar” kerana perkara itu sedang ditangani di peringkat tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas soal perpaduan berkata, beliau secara peribadi belum melihat surat yang didakwa ditulis oleh ahli MCA kepada kerajaan dan beberapa pihak akhir bulan lalu, yang dikatakan meminta agar laungan azan menerusi pembesar suara diperlahankan.

“Saya belum melihat surat itu. Biar saya tengok dulu dan kemudian saya akan komen,” kata beliau kepada pemberita hari ini.Bagaimanapun kata beliau, pihaknya sudah pun memulakan usaha untuk mengatasi isu tersebut.

“Kami sudah pun mula bertindak untuk melihat bagaimana isu ini boleh diselesaikan, jadi jika boleh bertindak (menyelesaikan isu) berbanding menjadikannya isu besar dan berkelahi menerusi media,” kata beliau selepas melancarkan buku tulisan Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow pagi ini.

Koh (gambar) enggan memberikan maklumat lanjut mengenai isu itu tetapi yakin pihak-pihak yang marah dalam pertikaian semasa ini akan menemui jalan penyelesaian.”Ini salah satu isu dan pada kebanyakan masa, ia boleh diselesaikan,” kata beliau.

Jelas beliau, sudah pasti ada unsur-unsur emosi tetapi kerajaan pasti kedua-dua pihak akan menerima penyelesaian yang bakal dicapai.

“Inilah semangat 1 Malaysia, untuk menerima perbezaan dan untuk bersatu. Isu tidak harus diperbesarkan,” kata beliau.

Beliau menasihat kesemua pihak terbabit agar bersabar daripada terus berkelahi berhubung isu berkenaan.

“Kita perlu inklusif, perlu ada persefahaman dan mencari penyelesaian, tetapi jika kita bertindak berlebihan, khususnya menyerang satu sama lain menerusi blog, ia akan menyukarkan keadaan,” kata beliau lagi.

“Jadi saya merayu kepada semua pihak akan bertenang. Saya ulangi, saya merayu kesemua pihak akan bertenang... ini berlaku beberapa kali sebelum ini, tetapi ia boleh diselesaikan dengan segera tanpa sebarang campur tangan politik,” katanya.

Koh menambah, Rukun Tetangga tempatan akan memainkan peranan penting dalam pertikaian seperti ini.

Tiada ulasan: