Rabu, 26 Januari 2011

Isu tanah: PAS gesa calon BN Azahar tarik diri



Kes Azahar akan didengar pada 7 Februari. — gambar fail

LABIS — PAS menggesa calon Umno-BN Mohd Azahar Ibrahim agar menarik diri daripada bertanding pilihan raya kecil DUN Tenang atas alasan bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit itu berhadapan tindakan saman — berkaitan isu tanah — yang akan didengar bulan depan.

Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang Salahuddin Ayub berkata Mohd Azahar perlu berbuat demikian kerana akibat kecuaian dan kelalaian beliau ketika menguruskan hal tanah di daerah Segamat lapan tahun lalu.

Tempoh untuk menarik diri sudah pun berakhir.

Mohd Azahar ketika itu memegang jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat.

Akibat kecuaian dan kelalaian Mohd Azahar dalam menguruskan tanah di kawasan itu seorang penduduk di Segamat telah menjadi mangsa sehingga menyebabkan tanah tersebut dilelong kepada pihak ketiga.

Bagaimanapun keputusan mahkamah tidak memihak kepada Mohd Azahar.

Menurut Salahuddin, saman tersebut dibuat oleh pihak ketiga yang telah membeli tanah seluas lapan ekar yang berharga RM70,000.

Pendengaran kes tersebut ditetapkan 7 Februari ini di Mahkamah Tinggi Muar.

Mohd Azahar semalam berkata perkara tersebut telah selesai dan berkata beliau hanya bertindak mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Bagaimanakan calon Umno-BN dengan mudah menyatakan isu tersebut sudah selesai sedangkan akibat kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa telah menyebabkan pembeli (tanah itu) yang membeli secara tidak sah menyaman calon Umno-BN, Pentadbir Tanah Daerah Segamat, Pejabat Tanah Daerah Segamat dan kerajaan negeri Johor sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi berjumlah lebih kurang RM1.5 juta.

“Bagaimanakah calon Umno-BN dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan dalam tuntutan ke atas keempat-empat defendan, calon Umno-BN dinamakan sebagai defendan pertama dan kes tersebut telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi Muar.

“Bagaimanakah calon Umno-BN menyatakan kes tersebut telah selesai sedangkan Mahkamah Tinggi Muar telah pun menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan ke atas calon Umno-BN dan tiga yang lain pada 7 Februari ini,” kata Salahuddin pada sidang media di sini.

Tiada ulasan: