Isnin, 3 Januari 2011

Isu SUK: Khir Toyo bina acuan bahaya, diulangi KSN

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo didakwa telah melanggar Perlembagaan apabila beliau membiarkan diri beliau dibelakangi dalam urusan pelantikan

Setiausaha Kerajaan Negeri yang terdahulu, kata pejabat Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Malah Dr Khir juga telah mengizinkan Ketua Setiausaha Negara melantik Datuk Ramli Mahmud sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa berunding dengan Menteri Besar seperti yang disyaratkan Perlembagaan.

Ramli, 56, digantikan oleh bekas pengarah Jais Datuk Mohd Khusrin Munawi yang masuk pejabat pagi tadi.

Kelmarin, Dr Khir mendakwa tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat campur tangan dalam pelantikan pegawai tertinggi perkhidmatan negeri dengan mengadakan jawatankuasa pemilihan sebagai langkah yang tidak sah.

“Beliau (Dr Khir) telah membina acuan yang bahaya dan sekarang senario ini berulang semula apabila KSN melantik Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu tanpa berunding terlebih dulu dengan Menteri Besar,” kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Faekah berkata, kerajaan Selangor enggan meneruskan ketidakpedulian Dr Khir terhadap Perlembagaan kerana ini akan membolehkan Ketua Setiausaha Negara menyalah guna Perlembagaan dan Nota Amalan Perkhidmatan Awam dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan kebijaksaan pengurusan yang mana tanggungjawab perlu disertai dengan kuasa.

“Ini kerana KSN melantik Khusrin dengan tidak mengambil kira kelayakan serta kredibiliti dan tanpa berunding dengan Menteri Besar,” katanya lagi.

Faekah juga berkata, Umno-BN telah mengeluarkan kuasa Sultan ketika meminda Perlembagaan Persekutuan pada 1993 tetapi sekarang mereka cuba bersembunyi di sebalik istana untuk meneruskan agenda politik jahat.

“Seperti dalam isu-isu lain, Dr Khir tidak memiliki moral dan kelayakan untuk mengkritik Kerajaan Selangor termasuk Jawatankuasa Pemilihan yang bertanggungjawab menemu bual pegawai kerajaan bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang menekankan pendirian kerajaan pusat bahawa soal pelantikan ketua pegawai perkhidmatan kerajaan negeri adalah prerogatif Ketua Setiausaha Negara.

“Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri adalah sah apabila Ketua Setiausaha Negara menyatakan persetujuan,” kata Dr Khir kepada The Malaysian Insider kelmarin.

Dr Khir juga membidas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kerana mengadakan proses pemilihan sendiri untuk memilih calon Setiausaha Kerajaan Negeri, yang menurutnya ia satu tindakan tidak yang sah.

Kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat tidak menerima pelantikan itu dengan menyifatkannya sebagai tidak muktamad.

Istana Selangor pula menegaskan pelantikan itu sebagai muktamad dan Khusrin akan mengangkat sumpah pada 6 Januari ini.

Dr Khir berkata, majlis angkat sumpah hanya prosedur pentadbiran semata-mata.

Faedah menambah kerajaan negeri mahu mengulangi kenyataan bahawa jawatankuasa ini dibentuk kerana Menteri Besar mahu memastikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri diisi oleh pegawai kerajaan yang berkelayakan dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan.

“Jawatankuasa ini juga mahu memastikan pelantikan dilakukan secara profesional dan adil.

“Ini juga bagi membolehkan pegawai kerajaan bertindak secara profesional tanpa rasa takut atau menyokong mana-mana parti kerana kenaikan pangkat dibuat berdasarkan prestasi mereka,” katanya lagi.

Tegas beliau, hanya kerana kerajaan negeri sebelum ini tidak mempunyai rasa hormat terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban, tidak bererti kerajaan sekarang perlu mengikut acuan lapuk dan tidak profesional yang mereka tinggalkan.

Tiada ulasan: