Selasa, 4 Januari 2011

Isu SUK: DUN panggil sidang khas, SPA diminta kaji semula lantikan Khusrin

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

Khalid Ibrahim ketika keluar dari bangunan SUK untuk menuju ke istana bagi menghadap Sultan Selangor hari ini berhubung isu pelantiakn Setiausaha Kerajaan Negeri. — Foto oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR — Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Sultan Selangor memaklumkan bahawa baginda tiada kuasa untuk memutuskan soal pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang menjadi pertikaian sejak seminggu lalu.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan negeri Selangor akan menulis kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam agar mengkaji semula pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi yang diumumkan Isnin lalu.

Beliau memulakan tugasnya hari ini.

Selain itu kata beliau, pentadbirannya juga akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri untuk meminda perlembagaan negeri berkaitan urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Sultan Selangor bersetuju dengan pendirian kerajaan negeri bahawa kuasa lantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), pegawai kewangan dan Penasihat Undang-undang negeri harus dikembalikan kepada Baginda dan Menteri Besar.

“Saya telah menghadap Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Sultan Selangor berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan SPA.

“Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan,” katanya pada sidang media sini.

Justeru, Khalid berkata Sultan Selanor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA bagi mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata sehingga penyelesaian muktamad dicapai kerajaan negeri akan “memboikot” mana-mana program dan majlis berkaitan jawatan Setiausaha Negeri Selangor yang kini dipegang bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Khusrin Munawi termasuk majlis mengangkat sumpah Khusrin di hadapan Sultan Selangor pada 6 Januari ini.

“Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Datuk Khusrin tidak akan hadir pada sebarang majlis msyuarat kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi sebagai ‘ex-officio’,” katanya.

Pada sidang media itu, Khalid juga berkata sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas akan diadakan untuk meminda perlembagaan negeri berkaitan urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Pada masa sama, kerajaan negeri akan mecadangkan Datuk Speaker untuk mengadakan sidang DUN tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa lantikan kepada Sultan Selangor dan Menteri besar,” katanya.

Minggu lalu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Khusrin dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Tiada ulasan: