Rabu, 12 Januari 2011

Isu SUK: Adun Sri Muda tulis surat mahu hadap Sultan

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Shuhaimi Shafiei sedang merangka surat untuk memohon menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan secara terperinci mengenai tulisan dalam blognya yang didakwa menghina baginda.

Shuhaimi berkata surat tersebut akan diserahkan dalam tempoh terdekat bagi mendapat perkenan Sultan Selangor bagi menjelaskan tulisannya.

“Berikutan kenyataan itu, saya sedang buat draf surat untuk diserahkan kepada Sultan Selangor bagi menjelaskan maksud sebenar tulisan saya.

“Saya masih lagi membuat draf ... nak tulis surat kepada Sultan kena tulis elok-elok. Nanti salah pula,” katanya selepas memberikan keterangan di Ibu pejabat polis daerah Shah Alam di sini berhubung tulisan dalam blognya yang didakwa menghina Sultan Selangor Sultan menyentuh isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Sebanyak 25 laporan polis telah dibuat terhadap Shuhaimi berhubung isu itu.

Shuhaimi tiba di IPD Shah Alam kira-kira pukul 4 petang dengan ditemani peguam R. Sivarasa, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Amer Hamzah Arshad untuk memberikan keterangan dan keluar kira-kira pukul 6.30 petang.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua PKR Kota Raja turut diiringi kira-kira 100 penyokong yang memberikan sokongan terhadap beliau.

Tambah Shuhaimi, beliau bersedia memohon maaf kepada Sultan Selangor sekiranya baginda tersinggung dengan tulisan dalam blohnya pada 30 Disember lalu.

Ini kali pertama Shuhaimi bercakap kepada media selepas kontroversi tulisannya yang turut dikecam hebat Umno-Barisan Nasional (BN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Perkasa dan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS).

“Sekiranya baginda rasa tersinggung sebagai rakyat yang setia, wakil rakyat yang dipilih rakyat dan sebagai orang Melayu saya akan memohon maaf.

“Saya akan minta maaf kalau Sultan rasa tersinggung, saya tengah draf lagi surat itu... nanti saya akan maklumkan.” katanya.

Shuhaimi sekali lagi melahirkan kesetiaan kepada Pakatan Rakyat dan menafikan khabar angin mengatakan beliau mahu meletakkan jawatan sebagai Adun Sri Muda.

“Ini adalah provokasi yang dibuat untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

“Kita tidak akan meletakkan jawatan walaupun menerima tekanan. Saya tidak tahu khabar angin ini daripada siapa. Saya tuan punya badan juga tidak tahu,” kata Shuhaimi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Khabar angin mengatakan Shuhaimi mahu meletakkan jawatan disebarkan melalui SMS sejak pagi tadi.

Tiada ulasan: