Rabu, 26 Januari 2011

Isu Felda: Ketua Penerangan Umno tolak debat Anak

BERNAMA

LABIS — Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan hari ini menolak ajakan presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman untuk berdebat mengenai masalah Felda.

Sebaliknya, beliau mengemukakan cabaran kepada Mazlan untuk berdialog secara tertutup bersama beliau dan pegawai Felda dengan harapan dapat menyelesaikan 20 perkara yang dibangkitkan oleh presiden Anak itu.

“Saya bukannya takut berdebat malah saya sudah berdebat sejak di sekolah menengah lagi.

“Berdebat selama sejam mana cukup, saya boleh beri dua hari untuk berdialog dan kita mempunyai semua jawapan kepada 20 perkara tersebut,” katanya kepada pemberita di Pusat Media Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kawasan Tenang di sini hari ini.

Beliau berkata berkata Mazlan boleh menerima cabarannya pada bila-bila masa selepas pilihan raya kecil ini.

Anak menyerahkan 20 perkara itu kepada Ahmad Maslan pada November tahun lalu yang mana antara lainnya melibatkan isu peneroka yang disingkir, isu hutang dengan Felda sehingga mencecah RM80,000 dalam masa tujuh tahun, dan masalah pembahagian pusaka oleh generasi kedua Felda.

Persatuan tersebut menghantar surat tawaran kedua kepada Ahmad Maslan semalam untuk berdebat mengenai isu tersebut.

Mengenai perjalanan kempen pilihan raya itu, Ahmad yang juga ketua penerangan Umno berkata parti itu dan Barisan Nasional (BN) menggunakan pendekatan kempen dari rumah ke rumah dan bukannya mengadakan ceramah untuk menarik pengundi.

Beliau berkata sasaran majoriti 5,000 undi yang dianggap sebagai motivasi oleh jentera parti boleh dicapai pada hari pembuangan undi nanti.

Pilihan raya kecil DUN Tenang itu akan diadakan pada 30 Jan ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Ia melibatkan calon BN Mohd Azahar Ibrahim, 39, dan lawannya daripada PAS, Normala Sudirman, 38.

13 ulasan:

awangsaribu berkata...

Kalau dah penakut, macam2 daleh dibuat. Cakap memang tak takut...sebenarnya tak berani !.

Kalau dah biasa debat sejak di bangku sekolah menengah lagi, kenapa takut berdebat setelah jadi menteri !.

Kalau menteri penerangan takut berdebat untuk penerangan seluruh rakyat, siapa yang nak bagi penerangan isu-isu negara gantikan Ahmad Maslan tu ?.

Mungkin ada yang terfikir , Rosmah Mansor mungkin mampu berdebat menggantikan menteri tu...Silakan !

Anak Sabah berkata...

Tidak salah kalau mahu berdebat, bawalah berbincang mengenai isu yang penting supaya semua orang jelas dengannya.

tombolo berkata...

lebih baik berbincang daripada berdebat. debat bukan penyelesaian.

madd berkata...

perbincangan lebih baik kerana ianya bertujuan untuk mencari penyelesaian. tapi debat hanya akan menunjukkan siapa menang dan siapa kalah tanpa ada penyelesaian.

Leo berkata...

Discussion is better. Debate will only cause unnecessary argument which could lead to personal attack.

Antanum berkata...

Semakin hari semakin popular ahli politik untuk mengadakan debat. Terpulanglah kepada mereka ingin berdebat atau tidak.

Antanum berkata...

Jangan terlalu emosi memikirkan hal ini. Tidak ada yang dapat dipersetujui jika beremosi dan diganggu oleh perasaan marah. Sebagai menteri kena pandai pertimbangkan segala masalah yang timbul.

Tanpa Nama berkata...

Lebih baik Mazlan menilai semula janji2 Pas kepada Peneroka Felda semasa pilihanraya umum ke 12 dulu, samada sudah ditunaikan atupun belum. Mazlan Aliman sebenarnya sudah kehilangan arah dan mula meroyan apabila tidak dicalonkan sebagai calon Pas di PRK Dun Tenang. Oleh itu kepada pengundi2 di DUN Tenang tidak perlu terperdaya dengan janji dan hasutan yang dimainkan oleh kumpulan ANAK yang tidak mengenang budi ini.

Tanpa Nama berkata...

memang tepat tindakan Datuk Ahmad Maslan. Sesi Dialog tertutup adalah tempat yang paling sesuai untuk menyelesaikan segala kekeliruan dan Kekalutan yang melanda benak Mazlan Aliman.

Mohd Ishak berkata...

Biar mereka menyelesaikan isu ini antara mereka sendiri.

Sanih Alias berkata...

Bedat??apa yang Debat boleh bantu sebenarnya. Debat ini hanya untuk mencari kesalahan dan bukan penyelesaian. Ada orag debat dapat selesaikan masalah yang lepas??Tidak ada..

Paquin berkata...

Setuju madd. Jadi pilihlah untuk berbincang dan bukannya asyik mahu berdebat ja. hehe

Paquin berkata...

Apapun saya berharap agar setiap perkara yang ditimbulkan dapat ditanggani dengan baik.