Khamis, 6 Januari 2011

Inkues: Keluarga Teoh, Selangor cabar keputusan koroner

SHAH ALAM – Peguam bagi keluarga Teoh Beng Hock dan kerajaan Selangor berkata mereka tidak berpuas hati dengan keputusan terbuka koroner diumumkan hari ini dan memutuskan untuk mencabarnya di Mahkamah Tinggi.

Karpal Singh dan anaknya Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh berkata, mereka akan memfailkan satu usul meminta mahkamah mengkaji semula keputusan tersebut secepat mungkin.

Bagaimanapun mereka tidak menyatakan bila akan membawa kes itu ke mahkamah.

Kedua-dua peguam berkenaan berkata, tiada tempoh ditentukan untuk berbuat demikian.

Sehubungan itu kata mereka, langkah mencabar keputusan hari ini tidak akan memberi kesan ke atas permintaan keluarga Teoh agar satu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk meneliti secara mendalam sebab-sebab yang membawa kepada kematian Teoh, setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Gobind berkata, pihaknya perlu meneliti dokumen-dokumen untuk melihat alasan keputusan koroner berhubung perkara-perkara yang hendak diminta untuk dikaji balik.

Beliau juga berkata, koroner membuat penemuan bermakna apabila mengatakan bahawa Teoh juga mengalami kecederaan sebelum terjatuh meskipun tidak cukup bukti untuk merumuskan kecederaan-kecederaan itu secara langsung membawa kepada kematiannya.

“Pada peringkat awal inkues, kedudukan diambil SPRM ialah tiada kekerasan atau paksaan digunakan ke atas Teoh apabila dia dibawa (ke SPRM) sebagai seorang saksi.

“Saya merasakan setiap rakyat Malaysia mahu tahu bagaimana dia berhadapan dengan kecederaan itu.

“Tiada siapa yang akan duduk dan berkata, ‘perkara-perkara ini berlaku?”

Kira-kira 3.30 petang tadi, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Teoh pada 2009 bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

Koroner Azmil Muntapha Abas, yang membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 37 saksi termasuk 12 pakar dalam inkues kematian Teoh, berkata ia adalah satu keputusan terbuka.

Beliau berkata keterangan pakar berhubung nota bunuh diri hanya sekadar mengesahkan ia ditulis oleh Teoh, namun tidak menyatakan tahap kewarasan mangsa sebelum ditemui mati, manakala keterangan anggota keluarganya menolak terus kemungkinan mangsa membunuh diri.

Katanya, ketiadaan bukti langsung mengenai penglibatan pihak ketiga yang menyebabkan mangsa jatuh pula “sekadar mengagak-agak dan ia tidak mempunyai sebarang nilai sebagai bahan bukti.”

Teoh, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009, di koridor tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan tersebut.

Inkues itu diadakan kerana kematian Teoh menimbulkan banyak persoalan khasnya apabila beliau mati beberapa jam selepas disoal siasat oleh SPRM berhubung dakwaan menyalahgunakan peruntukan kerajaan Selangor.

Tiada ulasan: