Rabu, 26 Januari 2011

Hudud bukan ‘perkara pertama’ PAS jika kuasai majoriti Parlimen



LABIS— Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar) menegaskan hukum hudud dan negara Islam yang diperjuangkan parti itu bukan agenda utama dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Malah kata beliau PAS juga tidak akan menjadikannya sebagai “perkara pertama” jika ia menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Beliau berkata sekiranya PAS mendapat kuasa mutlak untuk memerintah negara hukum hudud dan negara Islam bukan agenda utama yang dicapai bersama dalam Pakatan Rakyat.

PAS menegaskan pendirian ini ketika MCA, komponen Barisan Nasional, membangkitkan isu dasar negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang di sini.

“Hudud bukan agenda bersama Pakatan Rakyat, mana-mana negara nak laksanakan hukum hudud kena ikut prasyarat... kalau tidak, tidak boleh (laksanakan).

“Antara prasyarat adalah keadilan ekonomi, gaji minumum, kalau mencuri sebab miskin tidak boleh laksanakan (hukum hudud), pemerintah yang perlu dipersalahkan.

“Hudud tak termasuk dalam agenda Pakatan Rakyat, kalau PAS mempunyai kuasa mutlak... dapat dua pertiga majoriti dalam Parlimen, perkara pertama yang akan dilakukan PAS bukan hudud,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata demikian mengulas pendirian Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mahu menyerang PAS dengan membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil kawasan itu.

Dr Chua berkata akan terus menyerang PAS dengan memberi amaran kepada pengundi-pengundi bahawa sokongan mereka hanya akan memperkukuh kedudukan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata berkata meskipun DAP menjadi rakan komponen dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak mampu menghalang PAS daripada meneruskan dasar negara Islamnya.

“Jika Pakatan (Rakyat) menang di peringkat persekutuan, yang saya rasa tidak mungkin, PAS akan menjadi ketua, selaku parti yang ada lebih banyak sumber berbanding DAP dan (Parti) Keadilan (Rakyat),” katanya.

Baru-baru ini Dr Chua berhadapan dengan kecaman PAS kerana mendakwa calon PAS Normala Sudirman enggan bersalaman dengan pengundi-pengundi lelaki.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala Sudirman, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.

Tambah Mustafa, BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak akan terus memainkan isu-isu perkauman bagi menimbulkan rasa kebencian pengundi kepada Pakatan Rakyat.

“Bila pergi tempat Cina, mereka akan kata DAP ikut telunjuk PAS, bila pergi ke kawasan Melayu, mereka akan kata PAS pula jadi tunggangan DAP.

“Ini politik perkauman, sehingga Soi Lek (Dr Chua) kata DAP akan turut serta apa yang akan PAS akan buat iaitu hudud, terus terang saya cakap Islam adalah dasar PAS dan tidak berganjak sejak dulu.

“Islam adalah dasar PAS, ia mesti diterima oleh semua baik PAS atau Umno...tapi kalau Umno nak guna separuh separuh, ikut dialah,” katanya.

Justeru, beliau meminta supaya BN menghentikan politik perkauman dibawa ketika berkempen kerana ia boleh memberikan suasana yang kurang senang dalam masyarakat berbilang kaum.

“BN patut hentikan politik perkauman ini, yang dibawa BN ini politik kebencian bukan politik sayang,” katanya.

Semalam Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng mendakwa tindakan MCA yang mahu membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang kerana mahu menghalang orang bukan Islam daripada mengenali Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Beliau berkata tindakan Dr Chua yang mahu menyerang PAS dengan membangkitkan isu negara Islam semata-mata mahu menimbulkan rasa “ketakutan” kepada pengundi bukan Melayu di DUN Tenang terutamanya orang Cina.

Tiada ulasan: