Selasa, 4 Januari 2011

Hata pertahan hak selaku Presiden NUJ walau dipanggil Utusan

SELANGOR KINI

Hata Wahari

SHAH ALAM – Lantang bersuara dalam menyatakan pendapatnya secara terbuka mengenai hak kebebasan media di Malaysia, mengundang kontroversi apabila Hata Wahari dipanggil menjalani siasatan dalaman oleh majikannya Utusan Melayu Bhd berhubung komen-komennya di media sebelum ini.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) itu menegaskan beliau mempunyai hak dan bertanggungjawab untuk menyatakan pendapat atau menegur mana-mana media termasuk Utusan Malaysia atas kapasiti beliau sebagai seorang Presiden NUJ Malaysia dan bukannya sebagai seorang wartawan di syarikat tersebut.

“Saya memperjuangkan kebebasan media. Jadi saya bercakap atas kapasiti sebagai seorang Presiden NUJ Malaysia, bukan bercakap sebagai wartawan Utusan Malaysia.

“Sebagai presiden NUJ Malaysia, saya berhak untuk membuat sebarang kenyataan media tentang kebebasan media dan berhak menegur mana-mana akhbar yang tidak mengamalkan kebebasan media dan menjadi alat propaganda kerajaan dan mengenepikan prinsip rukun negara dengan menyiarkan cerita yang berbentuk perkauman,” katanya.

Hata ketika dihubungi TVSelangor tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan yang diambil oleh pihak majikannya selepas ini, namun beliau akan terus memperjuangkan kebebasan total media Malaysia melalui NUJ.

“Kalau mereka nak menutup mulut saya dengan mengenakan siasatan dalaman supaya saya tak boleh bercakap, tanda amaran, terpulang pada mereka. Tapi bagi saya sebagai seorang Presiden NUJ Malaysia, dan tak akan berganjak dengan pendirian saya iaitu media perlu dibebaskan daripada kongkongan kerajaan atau parti politik atau kepentingan individu,” jelasnya.

Biarpun mendapat tentangan dari beberapa pihak yang tidak menyenangi kelantangannya dalam menyatakan pendapat, beliau tetap berpegang teguh pada prinsip kebebasan media yang seharusnya memberi maklumat atau berita sebenar kepada masyarakat dan bukannya menjadi alat kepada kerajaan atau individu yang berkepentingan sahaja.

“Kalau mereka (Utusan) anggap itu menyindir apa masalahnya? Kalau mereka rasa itu menyindir maknanya perkara itu betul berlaku kan? Saya keluarkan pendapat NUJ, kalau tak betul mereka boleh beri kenyataan untuk menyangkal. Tetapi mereka kata saya menyindir, maksudnya itu semua benar belaka.

“Mereka melakukan itu semua. Apa yang pasti ialah, perkara itu benar-benar berlaku di Utusan Malaysia. Mereka sebagai boneka sahaja hanya menerima arahan sahaja,” katanya.

Hata menerima surat daripada bahagian sumber manusia Utusan bertarikh 23 Disember yang mengarahkanya hadir bagi menjalani siasatan dalaman di ibu pejabat syarikat penerbitan akhbar itu di Cheras pada 6 Januari depan.

Beliau turut menyatakan kesediannya berhadapan dengan Ketua Pengarang dan Pengarang-Pengarang Kanan Utusan Malaysia apabila dituduh menyindir pengurusan dan memburukkan imej syarikat ekoran komennya dalam pelbagai akhbar, terutama portal berita yang mengkritik Utusan Malaysia.

Tiada ulasan: