Sabtu, 22 Januari 2011

Hanya dua calon serah borang, BN-Pakatan bersaing

THE MALAYSIAN INSIDER

LABIS — Hanya dua orang masing-masing seorang dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat mengemukakan borang penamaan calon untuk bertanding pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pagi ini.

BN menurunkan Mohd Azahar Ibrahim, 39, iaitu bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat manakala PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mencalonkan Ketua Dewan Muslimat Labis dan bekas guru Normala Sudirman, 39.

Kedua-dua calon itu memasuki dewan penamaan calon pada pukul 9.10 pagi. Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Tenang bermula pada pukul 9 pagi di Pejabat Majlis Daerah Labis.

Tempoh pencalonan adalah selama sejam, disusuli dengan tempoh bantahan selama satu jam dan diikuti dengan pengumuman senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil oleh pegawai pengurus pilihan raya Md Asri Amir.

Terdahulu Timbalan Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai penyokong Barisan Nasional (BN) untuk mengiringi calon parti Mohd Azahar di pusat penamaan tersebut.

Turut mengiringi Muhyiddin termasuk Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan pemimpin komponen BN yang lain.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Nasharudin Md Isa, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut berada di pusat penamaan calon bagi mengiringi calon PAS.

Keadaan cuaca di pusat pencalonan itu baik dengan penyokong calon masing-masing mula berkumpul seawal 6.30 pagi dan berada di pusat itu sebelum 8.30 pagi.

Pilihan raya kecil DUN Tenang akan berlangsung pada 30 Jan ini berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Dis tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Pada pilihan raya umum 2008, Sulaiman menewaskan calon PAS Md Saim Siran dengan majoriti undi sebanyak 2,492.

Tiada ulasan: