Isnin, 10 Januari 2011

Haniza : Sidang khas DUN bincang pindaan mencakupi kuasa SPA

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Pindaan undang-undang tubuh Selangor yang dicadangkan akan mencakupi kuasa-kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri bersabit pelantikan jawatan-jawatan kanan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK).

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor Haniza Talha berkata sidang khas dewan pada hujung bulan ini akan membolehkan isu itu dibincangkan secara menyeluruh dan satu keputusan bernas diambil.

“Kita akan bincangkan yang dinyatakan dalam undang-undang tubuh, adakah dia memberi kuasa kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri untuk melantik penjawat awam seperti, Penasihat Undang-Undang, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri. Itu yang kita akan bincang dalam dewan, samada tafsiran kepada klausa itu sama dengan yang kita faham. Jika tidak jelas atau samar, maka kita perlu nyatakan dengan jelas,” katanya.

Kemelut pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dicetuskan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan pelantikan itu tanpa mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.

Sidek bertindak menghantar senarai nama calon pilihan Putrajaya termasuk Khusrin kepada Istana Selangor menerusi Datuk Ramli Mahmud yang ketika itu Setiausaha Kerajaan Negeri.

Kedua-dua Tan Sri Mohd Sidek dan Datuk Ramli tidak memaklumkan kepada pejabat Menteri Besar tentang tindakan mereka berhubung terus dengan nama-nama calon tersendiri.

Khusrin mengangkat ikrar setia terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah Khamis lalu. Kehadiran Tan Sri Khalid Ibrahim dan Exconya pada majlis ini diperalatkan oleh Umno sebagai kerajaan negeri kononnya terpaksa akur dengan pelantikan Khusrin.

“Proses itu sebenarnya tidak mengesahkan perlantikan tersebut jadi itu yang kita kena faham. Tetapi ada pihak tertentu menggunakan isu tersebut untuk memburukkan kerajaan negeri apabila kerajaan negeri telah menghantar surat kepada istana bahawa Menteri Besar dan Exco tidak mahu terlibat dalam apa-apa upacara angkat sumpah Datuk Khusrin.

“Jadi isu itu digunakan dan ‘memaksa’ Menteri Besar dan Exco untuk hadir juga. Supaya ia memberi gambaran kepada masyarakat bahawa MB mengikitiraf pelantikan Khusrin. Saya lihat itu taktik yang licik dan sangat kotor,” jelasnya.

Haniza berkata hakikat ialah pelantikan Khusrin di buat secara meminggirkan hak kerajaan negeri. Justeru kerajaan negeri terpaksa mengambil langkah-langkah perlu demi menjaga kewibawaannya.

Kerajaan negeri berpendirian bahawa pelantikan itu tidak mengambil kira pandangan kerajaan negeri yang sah. Oleh itu Exco dan MB tidak menerima angkat sumpah rahsia dari Datuk Khusrin. Dengan itu secara automatik, dia tidak boleh hadir majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Tindakan Putrajaya bertindak sendirian dan memulau kerajaan negeri demi melantik Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mempunyai implikasi mendalam ke atas mandat dan hak rakyat Selangor sendiri.

“Itu menunjukkan siapa sahaja pihak dibelakang pihak Datuk Khusrin yang memang seolah-olah mencabar kuasa yang telah diberi oleh rakyat kepada kerajaan negeri pada hari ini. Ini tindakan yang sengaja untuk timbulkan kekecohan dan kekeliruan di mata rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: