Ahad, 23 Januari 2011

Hakisan tebing Sungai Pegalan ancam nyawa penduduk sekitar

KENINGAU KINI

KENINGAU: Ancaman hakisan tebing Sungai Pegalan yang semakin kritikal di sepanjang kira-kira 15 kilometer di sini, memberi tekanan kepada ribuan penduduk sekaligus meletakkan nyawa mereka terdedah kepada risiko.

“Inilah senario kehidupan kami, dan ia benar-benar menakutkan,” dedah Pengerusi Bertindak Jawatankuasa Menangani Hakisan Tebing Sungai Pegalan, WKAN Mohd Said Asmat, 52, kepada akhbar ini.

Said berkata, pelbagai cara telah dibuat bagi menangani hakisan tebing itu, dan ini termasuk meminta jasa baik ahli-ahli korporat serta pemilik syarikat supaya menaja projek pelurusan sungai itu, tetapi katanya usaha itu masih belum dilaksana berikutan kelambatan pihak tertentu untuk mengeluarkan surat arahan kerja kepada syarikat berkenaan.

“Semua sudah bersetuju untuk keadah seperti ini dan ia termasuk Wakil Rakyat Bingkor, Pegawai Daerah, Jabatan Parit dan Saliran serta beberapa jabatan yang lain, bagaimanapun surat kebenaran yang dipersetujui belum lagi dikeluarkan,” katanya.

Sehubungan dengan itu Said merayu jabatan terbabit seperti Jabatan Tanah dan Ukur supaya mengeluarkan surat kebenaran yang dipersetujui kepada syarikat yang dilantik, bagi memudahkan proses pelurusan dibuat dengan segera.

Mesyuarat antara jawatankuasa itu bersama pihak berkuasa tempatan kira-kira sebulan yang lalu meluluskan, perlantikan sebuah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja pelurusan sungai itu, berdasarkan kaedah ‘menang, menang’.

“Syarikat dibenarkan untuk mengorek dan mengambil batu pasir di tapak yang terlibat, bagi tujuan membiayai kos pembinaan projek itu,” jelas Said.

Bagaimanapun katanya, perlaksanaan arah perintah yang dipersetujui masih belum ditunaikan, ekoran daripada kelambatan pengeluaran surat kebenaran daripada Jabatan Tanah dan Ukur.

Ekoran daripada kelambatan itu tambah Said, hakisan tebing sungai itu semakin menjadi-jadi.

“Kini semakin luas tanah petani yang sudah terhakis,” tambah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa itu, WKAN Hilary Ongoron, 58.

Said dan Hilary berkata, hakisan tebing sungai itu dikesan sejak tahun 1975 dan telah memusnahkan sekurang-kurangnya 20 lot tanah yang melibatkan keluasan kira-kira 300 ekar.

Mereka memberitahu, sekurang-kurangnya 1,000 ekar sawah akan musnah jika masalah hakisan itu tidak diselesaikan dengan segera.

Tiada ulasan: