Isnin, 10 Januari 2011

Enam cabang PKR diarah adakan pemilihan semula



PETALING JAYA — Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan semula pemilihan membabitkan enam cabang yang tergendala ekoran “kekecohan” tahun lalu, kata Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Cabang-cabang terbabit ialah Kuala Langat, Kapar, Klang dan Subang di Selangor, Jerai (Kedah) dan Batu Sapi di Sabah.

Saifuddin (gambar) berkata, pemilihan kesemua enam cabang itu tahun lalu, yang diadakan di bawah sistem pemilihan langsung julung kali diperkenalkan, diisytihar tidak sah disebabkan beberapa sebab.

“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah mengarahkan jawatankuasa negeri menetapkan tarikh baru bagi pemilihan di cabang-cabang berkenaan,” kata beliau kepada pemberita di ibu pejabat PKR hari ini.

Katanya, sebaik sahaja tarikh baru ditetapkan jawatankuasa pemilihan akan menyempurnakan tanggungjawab mereka yang sewajarnya.

Saifuddin juga berkata, aduan yang dikemukakan berhubung pemilihan cabang Kelana Jaya dan Semporna juga telah diselesaikan semalam.

Pemilihan langsung kali pertama PKR tahun lalu dicemari dengan dakwaan kepincangan dan kecacatan dengan bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada saingan timbalan presiden dan kemudian memutuskan untuk keluar parti.

Saifuddin juga mengumumkan perubahan barisan kepimpinan peringkat negeri.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, yang bulan lalu dilantik sebagai naib presiden, melepaskan jawatannya dan digantikan oleh Datuk John Tenewi Nuek.

Wan Salleh Wan Isa pula akan mengetuai Kedah, Dr Mohd Nur Manuty (Perak), Azan Ismail (Terengganu), Abdul Aziz Kadir (Kelantan), Pajuddin Nordin (Sabah) dan Dr Idris Ahmad (Wilayah Persekutuan).

Datuk Mansor Othman kekal di Pulau Pinang dan begitu itu Shamsul Iskandar Mohd Akin di Melaka.

Mansor dan Shamsul Iskandar masing-masing merupakan naib presiden dan ketua Angkatan Muda PKR.

Mansor juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

Datuk Chua Jui Meng kekal pengerusi PKR Johor manakala Azmin Ali, Johari Shafie, Datuk Fauzi Abdul Rahman, Datuk Kamarul Bahrin Abbas masing-masing kekal di Selangor, Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan.

Pada pemilihan lalu, Azmin dipilih sebagai timbalan presiden.

Low Chee Chong dilantik sebagai timbalan bendahari agung manakala Syed Hamid Ali, S. Manickavasagam, Zulrusdi Mohamad Hol, Mohd Rafie Abdul Malek, See Chee How dan Chang Li Kang dilantik menyertai MPP.

Rosli Abdullah dari Terengganu akan menggantikan Badrul Hisham Shaharin, yang dikenali sebagai “Chegubard”, yang menolak tawaran pelantikan sebagai timbalan setiausaha agung

Tiada ulasan: