Jumaat, 28 Januari 2011

The Economist: Najib perlu mandat besar ‘buang puak’ halang pembaharuan



KUALA LUMPUR — Langkah mengembalikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen akan membolehkan Datuk Seri Najib Razak “membersihkan golongan lama” yang dilihat menjadi penghalang kepada idea-idea pembaharuan beliau mahu perkenalkan, kata The Economist.

Dalam edisi terbarunya, The Economist menyebut, bagi sesetengah pihak dalam partinya dan juga perkhidmatan awam, yang majoritinya orang Melayu, Najib bergerak dengan begitu pantas, malah ada yang menganggapnya “menuju arah yang salah” menerusi rancangannya memperkenalkan meritokrasi.

Laporan itu juga mendakwa ramai anggota Kabinetnya juga tidak menyokong pelan pembaharuan Najib.

Justeru Najib, yang menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berhenti selepas kesan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008, kemungkinan memanggil pilihan raya baru seawal Mac, dua tahun sebelum tempoh kerajaan berakhir bagi mendapatkan mandat untuk berhadapan dengan golongan yang menjadi penghalang kepada hala tuju pentadbiranya.

“Najib perlu menang besar untuk meyakinkan pihak yang skeptik, sekurang-kurangnya mengembalikan majoriti dua pertiga BN.

“Jika beliau mampu berbuat demikian, maka beliau boleh membersihkan golongan lama Umno,” katanya lagi.

Maka hanya dengan itu sahaja Najib boleh melaksanakan idea-idea pemodenan yang menurutnya boleh membawa perubahan kepada negara ini, lapor The Economist.

Ia menambah, beberapa projek yang diumumkan awal tahun ini di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah sebahagian daripada strategi untuk memenangi pilihan raya umum tergempar.

The Economist menulis, Najib yang juga presiden Umno bersetuju dengan mereka yang berhujah bahawa aspek kuota dan tindakan afirmatif untuk membantu orang Melayu adalah tindakan tidak berproduktif.

Kata laporan itu, salah satu kesannya ialah menyebabkan aliran keluar golongan cerdik masyarakat Cina dan pada masa yang sama ekonomi negara berhadapan dengan kehilangan aspek kemahiran keusahawanan mereka.

ETP yang meletakkan sasaran untuk menggandakan pendapatan per kapita negara menjelang 2020 berjanji untuk “memperkenalkan satu masyarakat meritokrasi,” kata The Economist lagi.

“Mengambil kira beliau seorang ahli politik yang berhati-hati, beliau membawa mesejnya dengan janji tidak akan memansuhkan kesemua hak kaum Bumiputera,” katanya.

The Economist juga menarik perhatian, dasar-dasar pembaharuan yang dibawa Najib digerakkan oleh badan-badan yang diwujudkan dalam lingkungan Pejabat Perdana Menteri itu sendiri berbanding kementerian-kementerian lain yang relevan, satu petunjuk bahawa Kabinet yang berteraskan kepimpinan Umno tidak ‘menerima’ idea-idea negara yang lebih bertunjangkan unsur meritokrasi.

Tulisan itu juga mendakwa, partinya dan birokrasi kerajaannya juga tidak bersetuju dengan langkah perdana menteri ke arah sistem meritokrasi dan Najib terpaksa berhadapan dengan Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan yang memdakwa membela kepentingan orang Melayu dari dalam Umno sendiri.

“Dalam pilihan raya umum akan datang, kata seorang bekas penasihat Najib, akan menjadi gambaran karakternya. Ia akan menjadi ujian keupayaan Najib untuk memperkukuhkan agenda beliau dalam parti sendiri dan kerajaan selain berhadapan dengan tentangan daripada pembangkang,” kata The Economist, yang merujuk kepada pendirian Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Najib mengambil alih kepimpinan Umno dan jawatan perdana menteri daripada Abdullah awal 2009 — setahun selepas BN hilang majoriti dua pertiga dan lima kerajaan negeri pada pilihan raya umum Mac 2008.

Tiada ulasan: