Ahad, 30 Januari 2011

DUN Tenang: Mangsa banjir dipindahkan terus meningkat

BERNAMA

LABIS: Proses pengundian pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang tetap berjalan walaupun beberapa kawasan rendah dilanda banjir dan bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan terus meningkat.

Jurucakap polis bagi pilihan raya itu, Suptendan Abdul Aziz Ahmad, berkata sehingga pukul 2 petang ini, seramai 846 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Mangsa yang dipindahkan ke Balai Raya Kampung Paya Dalam ialah seramai 53 orang; Balai Raya Kampung Batu Badak (94); Sekolah Agama Pekan Air Panas (58); Balai Raya Kampung Usaha Jaya (70); Balai Raya Kampung Lembah Bakti (272); Balai Tadika Kampung Orang Asli (130); Balai Raya Kampung Sekijang (10); Balai Raya Kampung Melayu Raya (12); Balai Air Bah Pagoh 2 (53); Sekolah Arab Kampung Gubah (13); dan Balai Raya Kampung Genuang India (81).

Walaupun hujan lebat masih berterusan, proses pengundian di beberapa pusat pengundian yang tidak terjejas dengan banjir berjalan lancar, katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong berkata bot penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terpaksa digunakan untuk mengangkut pengundi dari Labis ke pusat pengundian di SMK Kamarul Ariffin, kerana sebahagian laluan menuju ke pusat itu ditenggelami air.

Pusat pengundian itu bagaimanapun tidak terjejas kerana terletak di atas bukit.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan SPR, sehingga pukul 1 tengah hari seramai 55.36 peratus atau 8,167 orang daripada 14,753 pengundi telah keluar mengundi dalam pilihan raya itu.

Tiada ulasan: