Khamis, 20 Januari 2011

Dua penunggang motosikal maut

SINAR HARIAN ONLINE


SABAK BERNAM – Tidak sampai tempoh masa lima jam, seorang remaja lelaki dan wanita maut dalam kemalangan di dua lokasi berasingan di sini, semalam.

Dalam kejadian pertama, seorang pelajar Tingkatan Enam Atas, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, maut apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan dekat Parit Tiga Sungai Haji Dorani, kira-kira jam 7.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian pertama, mangsa Mohd Zulhelmy Amin Mokhtar, 19 dari Parit Sembilan Ban Tiga, Sungai Leman, dipercayai dalam perjalanan ke sekolah bertembung dengan motosikal yang mengelak lubang di tempat kejadian.

Katanya, tindakan mengelak menyebabkan penunggangnya, Abd Wahab Mohd Dom, 48 dari Kampung Nelayan Sungai Besar dan pemboncengnya warganegara Indonesia, Mahyun, 30, terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggangi Mohd Zulhelmy.

“Dalam kemalangan itu, Mohd Zulhelmy meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Manakala Mahyun hanya mengalami cedera ringan di bahagian lutut kanan dan mulut.

“Sementara itu, Abd Wahab koma apabila mengalami pendarahan di bahagian kepala dan patah tangan kanan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya.

Noor Mushar berkata, dalam kejadian kedua, seorang warga emas, Saniah Md Noh, 71, maut serta merta akibat cedera parah di kepala setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kereta dekat kilometer 67 Jalan Teluk Intan – Klang, kira-kira jam 12.10 tengah hari.

“Ketika kejadian, motosikal yang ditunggang Saniah bersama guni berisi padi bertembung dengan sebuah kereta arah Sungai Besar ke Tanjong Karang yang dipandu seorang warga emas berusia 62 tahun berasal dari Tali Air Tujuh, dekat situ.

“Saniah dipercayai dalam perjalanan pulang dari sawah menuju ke rumahnya di seberang jalan dan bertembung dengan kereta itu di lorong kedua sebelah kanan jalan,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Kamaruzaman Ali, 45, berkata, ibunya yang berusia 71 tahun itu sudah biasa menunggang motosikal.

“Ibu sudah biasa menunggang motosikal dan sangat faham tentang penggunaan lampu isyarat dan peraturan jalan raya yang lain. Namun semasa melintas jalan selepas pulang melihat sawah padi miliknya, ibu terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya.

Difahamkan Saniah tinggal seorang diri di Tali Air Lapan, Sungai Leman, manakala beliau dan seorang adiknya tinggal di Klang kerana bekerja di sana dan seorang lagi berada di Gombak.

Kali terakhir Kamaruzaman menemui ibunya dua minggu lalu dan tiada apa-apa perubahan ketara kepada sikap ibunya kecuali begitu teruja hendak melawat sanak saudara di Perak.

“Walaupun sedih dengan pemergian ibu, kami tetap reda dengan ketentuan-Nya dan berdoa roh ibu ditempatkan bersama orang beriman,” katanya.

Tiada ulasan: