Jumaat, 28 Januari 2011

Perutusan Presiden PAS Sempena PRK Tenang....

Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS) saya merayu kepada seluruh pengundi di DUN N.05 Tenang supaya memberi undi kepada calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat iaitu 'Cikgu Mala' dalam pengundian pada hari Sabtu 30 Januari ini. Segala tindak-tanduk tuan-tuan dan puan-puan para pengundi memberi implikasi yang besar kepada bukan sahaja kawasan Tenang tetapi kepada politik negara.

Kecelaruan politik negara yang semakin memuncak sejak akhir-akhir ini telah memberi kesan yang buruk kepada ekonomi dan sosial negara. Berlaku ketidakseimbangan ekonomi yang telah menyebabkan kenaikkan harga keperluan asas yang dirasai oleh rakyat terbanyak, dalam masa yang sama pemimpin negara dan ahli keluarga mereka terus berbelanja mewah manakala rakyat terbanyak menerima bebanan yang memeritkan kehidupan mereka seharian.

Sistem pendidikan yang bercelaru sehingga menyebabkan perbalahan kaum dan kos pendidikan yang meningkat. Rakyat hidup dalam ketakutan akibat jenayah yang semakin parah. Agama dipermain-mainkan semata-mata untuk dapatkan keuntungan politik. Dalam masa yang sama rasuah, penyelewengan wang rakyat berlaku secara berleluasa. Pemimpin yang hilang integriti dilantik kembali dalam pentadbiran negara.

Semua ini memerlukan satu isyarat yang jelas daripada pengundi supaya kerajaan yang ada berubah dasar dan sikap mereka, atau bersedia untuk diubah oleh rakyat dengan digantikan BN kepada Pakatan Rakyat.

Oleh itu, pengundi di DUNTenang bertanggungjawab untuk memberi isyarat kepada pemerintah dengan memberi undi dan kemenangan kepada calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat iaitu Cikgu Mala, seorang yang bersih, integriti tinggi dan berkemampuan mewakili tuan-tuan.

Kita perlukan segera perubahan untuk hidup yang lebih sejahtera. Ubah sekarang, selamatkan Malaysia.


Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Tiada ulasan: