Selasa, 4 Januari 2011

Ditipu RM1.1j

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

KESAL...(dari kiri) Akma, Razali dan akauntan MM Event Sdn Bhd, Mohd Farid Mohamed menunjukkan surat perjanjian dan laporan polis yang dibuat.

KESAL...(dari kiri) Akma, Razali dan akauntan MM Event Sdn Bhd, Mohd Farid Mohamed menunjukkan surat perjanjian dan laporan polis yang dibuat.

KUALA LUMPUR: “Memang syarikat saya antara yang tertipu dalam kejadian itu,” kata Pengarah Urusan Pak Ngah Production Sdn Bhd (PNP), Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah ketika mengulas dakwaan Pengarah Eksekutif MM Event Sdn Bhd, Razali Dahalan yang kerugian hampir RM1.1 juta selepas seorang lelaki bergelaran Datuk didakwa menggelapkan wang sepatutnya dibayar kepada mereka.

Menurut Pak Ngah, dia tidak terbabit secara langsung, tetapi menyertai program berkenaan selepas dipelawa Razali selepas mendapat kontrak daripada Datuk terbabit untuk menjayakan festival bunga pada 2008.

“Saya dipertanggungjawab menyediakan peserta, mengendalikan tarian selain menjadi pengarah pada acara berkenaan.

“Selepas menjayakan program itu, Razali mendakwa Datuk terbabit enggan melunaskan bayaran sebelum dia membuat laporan polis.


“Disebabkan itu, Razali tidak dapat melunaskan bayaran penuh seperti dijanjikan, namun saya terharu dengan kesungguhan pihaknya yang berusaha mendapatkan wang berkenaan semula.


“Saya berharap perkara ini tidak diperbesarkan dan diselesaikan dengan baik,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Razali berkata kegagalan individu terbabit menunaikan janji menyebabkan dia kerugian.

“Disebabkan itu, saya gagal melunaskan bayaran penuh kepada beberapa kontraktor yang terbabit program berkenaan termasuk Pak Ngah dan pereka kostum daripada Syarikat Couture Classics (M) Sdn Bhd, Akma Suriati Awang,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut bagaimana kejadian itu berlaku, Razali berkata, dia mula mengenali Datuk terbabit melalui abang dan anak saudaranya ketika ditawarkan mengendalikan satu pesta bertemakan bunga anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia (KPM).

“Saya mempelawa Pak Ngah dan Akma untuk menjayakan program berkenaan bersama-sama. Akma diminta menyediakan kostum mengikut tema program itu, manakala Pak Ngah bertanggungjawab menguruskan peserta, tarian dan menjadi pengarah pada acara berkenaan.

“Selepas berusaha bersungguh-sungguh, program berkenaan berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini, semalam.

Razali berkata, selepas pembayaran dibuat KPM, Datuk terbabit bersama abang dan anak saudaranya tidak melunaskan wang yang sepatutnya diserahkan kepada mereka.

“Selepas didesak, lelaki itu berjanji akan melunaskan bayaran berkenaan secara ansuran sebanyak lima kali sebelum dia melalui wakilnya menandatangani satu perjanjian pembayaran dijadualkan bermula 18 Julai 2008 hingga 18 Disember tahun lalu.

“Disebabkan itu, saya terpaksa mendiamkan diri, namun selepas tempoh berkenaan tamat, individu terbabit masih tidak melunaskan bayaran,” katanya.

Razali berkata, sehingga kini lelaki itu mendiamkan diri dan enggan menjawab panggilan telefon.

“Saya tidak mahu memperbesarkan masalah ini sebaliknya mahu menuntut keadilan dan hak kami.

“Pendedahan ini diharap dapat membuka mata lelaki terbabit supaya segera tampil dan melunaskan hutang itu. Ini kerana saya terpaksa menanggung kerugian selepas menjayakan program berkenaan. Malah, kedudukan kewangan syarikat turut terjejas,” katanya.

Tiada ulasan: