Khamis, 13 Januari 2011

'Datuk Seri’ digantung bukan diserah sementara, kata SUK

KUALA LUMPUR – Gelaran Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran “Dato Seri” kepada Dr Khir Toyo digantung atas arahan Sultan Selangor dan bukan dikembalikan buat sementara seperti yang dikatakan bekas menteri besar Selangor itu semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Khusrin berkata, keputusan menggantung gelaran Dr Khir itu dibuat dalam Dewan Diraja Selangor kelmarin.

“Gelaran beliau (Khir) digantung. Bukan beliau yang serahkan, ia satu kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan beliau.

“Gelaran beliau digantung sehingga kes beliau selesai,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tambah Khusrin, jika Dr Khir didapati bersalah, gelaran itu akan ditarik terus daripada beliau.

“Kalau tidak bersalah kita akan berikan semula (gelaran), kalau bersalah kita akan tarik terus.

“Isunya sekarang bukan beliau yang serah tapi digantung,” katanya.

Semalam Khir dalam blognya berkata telah memulangkan sementara pingat Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran ‘‘Dato Seri’’.

Khir menulis dalam blognya semalam bahawa tindakan itu diambil selepas beliau dihadapkan ke mahkamah berhubung tuduhan rasuah membabitkan pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7.

Katanya, pada pertengahan Disember 2010 yang lalu, beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memulangkan sementara pingat Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Disember lepas, Dr Khir, 45, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1 L, Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah syarikatnya Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Beliau juga telah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 8 Disember.

Selain Dr Khir, gelaran Darjah Kebesaran yang membawa gelaran “Dato” kepada Shamsuddin yang juga didakwa dalam kes yang sama, turut digantung.

“Penggantungan gelaran dan penggunaan Darjah Kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan beliau (Shamsuddin) tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan. yang telah dikurniakan keahlian.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor membuat keputusan di atas setelah mempertimbangkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas kedua-dua mereka ini adalah kesalahan serius yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” kata Khusrin.

Tiada ulasan: