Khamis, 6 Januari 2011

Cukai pintu: MBKT belum mampu berdikari?

DARI : http://www.drazmanibrahim.com/

Memetik laporan sebuah akhbar harian Rabu, 5 Januari 2011, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mengkaji kemungkinan menaikkan kadar cukai pintu bandar raya ini dalam usaha meningkatkan prasarana dan perkhidmatan kepada warganya.

Menteri Besar juga dilaporkan berkata bahawa kadar cukai pintu sedia ada dalam zon pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak pernah dinaikkan sejak 30 tahun lalu walaupun telah dua kali melaksanakan kajian terhadap cadangan itu.

Katanya lagi, jika kenaikan tersebut dapat dilaksanakan, kerajaan negeri yakin dapat mengurangkan beban kerajaan sebanyak RM50 juta setahun untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM366 juta untuk membantu PBT di negeri ini bagi membolehkan perancangan bandar dan daerah dilaksanakan. Daripada RM366 juta tersebut, RM50 juta diperuntukkan untuk MBKT, Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Menteri Besar juga memaklumkan bahawa setakat ini hanya tiga buah PBT iaitu Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Daerah Besut dan Majlis Daerah Hulu Terengganu dilihat berpotensi untuk berdikari seperti yang berjaya dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kemaman. Bermakna MBKT bukan setakat tidak mampu berdikari malah belum dilihat berpotensi untuk berdikari.

Membaca kenyataan ini, timbul dua persoalan besar:

Pertama, jumlah pendapatan tahunan sesebuah PBT adalah antara kriteria yang diambil kira sebelum sesebuah bandar layak diisytiharkan sebagai bandaraya.

Saya tidak mempunyai data lengkap tentang jumlah pendapatan tahunan MBKT. Tetapi mudah difahami apabila kerajaan negeri terbeban dengan peruntukkan tahunan sebanyak RM50 juta kepada MBKT, bermakna jumlah pendapatan PBT ini masih jauh dari mencukupi dengan makna lain belum mampu berdiri sendiri. Mempertikaikan statusnya sebagai bandaraya mungkin sekadar seumpama rumah siap pahat berbunyi. Ianya tidak akan memberi sebarang faedah kepada rakyat. Tambahan pula tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia sesebuah bandar ditarik balik status bandarayanya kerana sebab-sebab tertentu.

Tumpuan fokus dalam konteks permasalahan ini adalah bagaimana perancangan kerajaan untuk kesejahteraan dan kemakmuran penduduk bandaraya. Mungkin bukan suatu langkah yang tepat dan bijak dalam rangka untuk mengurangkan bebanan kerajaan bagi menyalurkan peruntukan tahunan kepada PBT amnya dan MBKT khususnya, cadangan kenaikan cukai pintu dikemukakan. Natijahnya, rakyat dipaksa menanggung beban cukai tambahan di samping berbagai lagi beban kenaikan kos sara hidup yang telah sedia dipikul.

Kedua, Ahmad Said menyatakan bahawa kadar cukai pintu ini tidak pernah dinaikkan sejak 30 tahun dulu, tetapi beliau tidak memaklumkan bahawa cukai pintu ini pernah dimansuhkan ketika era pemerintahan PAS 1999-2004. Tentunya pemansuhan ini dibuat setelah melalui suatu proses kajian teliti dengan semua faktor diambil pertimbangan sewajarnya. Kelangsungan pentadbiran di semua PBT mampu diteruskan seperti biasa ditambah lagi dengan kengkangan kewangan apabila royalti hak rakyat Terengganu dirampas kerajaan pusat Umno/BN.

Lantas bagaimana mungkin Ahmad Said dengan peruntukan bajet negeri tahun 2011 sebanyak RM1.887 bilion masih tergamak merancang untuk menambahkan beban yang sedia digalas rakyat.

Tiada ulasan: