Selasa, 25 Januari 2011

Cikgu Mala pakai sarung tangan, PAS kata langkah jaga-jaga



Normala Sudirman (tiga dari kanan) kelihatan mengenakan sarung tangan ketika bertemu dengan orang ramai semasa berkempen di Labis

LABIS— Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dzulkefly Ahmad berkata calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman mengenakan sarung tangan ketika berkempen — di sebalik serangan Barisan Nasional (BN) — sebaik sahaja kempen pilihan raya kecil bermula Sabtu lalu.

Dzulkefly berkata pendekatan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga adab bersalam seorang wanita Islam.

Kempen BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dilihat memberikan tumpuan kepada cara bersalam Normala yang tidak bersalam dengan lelaki daripada membawa isu-isu rakyat.

Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.

“Sebagai orang Islam, beliau (Normala) memang tidak boleh bersalam dengan lelaki yang bukan muhrim.

“Ia bukan sahaja melibatkan orang bukan Islam tetapi orang Islam juga, kalau bukan muhrim memang tidak boleh salam.

“Sebab itu beliau memakai sarung tangan sebagai langkah berjaga-jaga, itu sahaja... kalau ada lelaki yang hulurkan tangan, beliau boleh sambut salam itu,” kata Dzulkefly sambil menambah ia mengikut keadaan dan terpulang kepada Normala sama ada mahu bersalam ataupun tidak.

Beliau juga berkata Normala akan memakai sarung tangan sepanjang kempen pilihan raya.

“Beliau akan pakai (sarung tangan) dan ia ikut juga keadaan, kalau pergi kawasan Felda yang majoriti orang Melayu mungkin beliau tidak akan pakai kerana orang di sana faham.

“Ini bukan strategi PAS tapi ia adalah ajaran Islam," katanya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa parti komponen BN terutamanya MCA supaya tidak mengeksploitasikan pendirian Normala yang tidak bersalam dengan lelaki.

Selain itu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Dr Chua, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam sebagai satu pendirian menghina agama Islam, yang merupakan agama rasmi negara ini.

Justeru, Harussani menggesa Dr Chua supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang Salahuddin Ayub berkata perkara itu bukan isu dan parti Islam itu tidak bimbang jika BN akan terus menggunakan isu tersebut.

“Ia bukan isu, malah dalam penggunaan sarung tangan ia bukan hanya Normala tetapi telah digunakan di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak takut kalau BN akan gunakan itu itu (salam) dan negara Islam, saya percaya kalau BN tak guna isu ini mereka akan tetap gunakan isu agama,” katanya.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.

Tiada ulasan: