Isnin, 24 Januari 2011

Chong Wei rangkul Terbuka Malaysia kali ketujuh

TERKINI
BERNAMA


KUALA LUMPUR —Pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan kali ketujuh Kejohanan Badminton Terbuka Proton Malaysia Siri Super 2011 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau mengambil masa hanya 37 minit untuk menundukkan pemenang pingat emas Olimpik Athens 2004 Taufik Hidayat dari Indonesia 21-8, 21-17.

Pada set pertama Lee kerap bermain di jaring sehingga memaksa Taufik melakukan kesilapan.

Kecuaian Taufik yang sering menghantar bulu tangkis ke luar gelanggang turut membantu Lee mengumpul mata.

Pada set kedua, Taufik, yang berada pada kedudukan 8-18, meraih sembilan mata berturut-turut untuk merapatkan kedudukan dengan Lee 17-18.

Lee (gambar) bagaimanapun, tidak memberi peluang kepada Taufik untuk terus bangkit.

Pukulan kencang bertalu-talu Chong Wei gagal disambut sempurna oleh Taufik sekali gus memberi tiga mata terakhir kepada perseorangan nombor satu dunia itu.

“Saya memang bersungguh-sungguh kali ini kerana saya merupakan satu-satunya pemain Malaysia yang tinggal (dalam perlawanan akhir). Saya mahu kejuaraan ini kekal pada Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Lee berkata beliau juga lebih bersemangat berikutan kehadiran jurulatih perseorangan Datuk Misbun Sidek.

“Dia (Misbun) mungkin tahu saya berada di bawah tekanan untuk menang, jadi dia datang dan beri motivasi pada saya.

“Dia ada beritahu saya ‘awak beraksi dengan baik dan awak berlatih bersungguh-sungguh, jadi hari ini awak akan dapat keputusan yang baik’,” katanya.

Lee berazam untuk merangkul tiga lagi kejuaraan tahun ini iaitu Kejohanan Premier Korea Siri Super, All-England dan Kejohanan Dunia BWF.

Beliau yang membuka tirai tahun ini dengan memenangi gelaran juara Terbuka Taiwan dan Terbuka Malaysia berkata akan menumpukan perhatian kepada tiga kejohanan tersebut bagi mengekalkan prestasinya sebagai perseorangan nombor satu dunia.

Katanya All-England dan Kejohanan Dunia BWF dilihat sebagai kejohanan paling berprestij manakala Korea Premier Siri Super menawarkan nilai hadiah tertinggi iaitu AS$1.2 juta.

“Walaupun lawan saya nanti hebat-hebat, saya akan berlatih bersungguh-sungguh dan akan lakukan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Lee akan berlepas ke Seoul malam ini bagi menghadapi Kejohanan Badminton Premier Victor Korea Siri Super 2011 yang akan bermula dari Selasa ini hingga 30 Januari.

Dalam pada itu, walaupun baru dua kali bergandingan dalam kejohanan antarabangsa, beregu lelaki China Chai Biao dan Guo Zhendong berjaya mempamerkan aksi cemerlang dan konsisten untuk memenangi perlawanan akhir Badminton Proton Terbuka Malaysia.

Beregu China itu melakar kenangan manis merangkul kejuaraan pertama dengan menundukkan pasangan Denmark, Mads Conrads-Petersen dan Jonas Rasmussen dalam straight set, 21-16, 21-14 dalam masa 40 minit.

Pasangan Cina itu membawa pulang wang bernilai AS$31,600 (RM96,696).

Tiada ulasan: