Khamis, 27 Januari 2011

‘Calon Umno bohong’, kata Salahuddin Ayub

FREE MALAYSIA TODAY

Mohd Azahar semasa menjadi Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat didakwa melelong tanah Mansor Mohamad secara tidak sah pada 1 Disember 2003 dengan harga RM 70,000.


LABIS: PAS mendakwa calon Barisan Nasional Mohd Azahar Ibrahim tidak bercakap benar apabila mengatakan isu beliau melelong tanah seorang penduduk semasa menjadi Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat telah selesai.

“Kami sekali lagi ingin menegaskan bahawa kenyataan calon Umno yang isu tersebut telah selesai menunjukkan beliau tidak bercakap benar,” kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Ahli Parlimen Kubang Kerian yaang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Azahar dikatakan membuat kenyataan isu tersebut selesai dalam satu akhbar internet semalam.

Bekas Bendahari Pemuda Umno bahagian Labis semasa menjadi Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat didakwa melelong tanah Mansor Mohamad secara tidak sah pada 1 Disember 2003 dengan harga RM 70,000.

“Pembeli tanah tersebut iaitu Norhana Mohd Ali telah menyaman Mohd Azahar, Pentadbir Tanah Daerah Segamat, Pejabat Tanah Daerah Segamat dan Kerajaan Johor bagi menuntut gantirugi berjumlah kira-kira 1.5 juta.

“Norhana telah menamakan Mohd Azahar sebagai defendan pertama dan kes tersebut telah pun didaftarkan di Mahkamah Tinggi Muar iaitu Guaman Sivil No : 23-14-2009.

“Mahkamah Tinggi Muar telah pun menetapkan tarikh pendengaran kes tersebut pada 7 Februari ini.

“Penasihat Undang-Undang Negeri Johor sendiri mewakili calon Umno dalam kes tersebut,” katanya dalam kenyataan media tersebut.

Sehubungan itu, Salahuddin menggesa Mohd Azahar menarik diri dari menjadi calon jika beliau mempunyai integriti dan harga diri.

Tiada ulasan: