Sabtu, 22 Januari 2011

BN turunkan calon popular di DUN Merlimau

BERNAMA

PEKAN – Barisan Nasional (BN) Melaka akan menurunkan calon popular di kalangan rakyat bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Pengerusi BN Melaka itu berkata BN negeri akan mengambil pendekatan yang disaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memilih calon yang boleh memenangi pilihan raya.

“Calon popular di kalangan rakyat boleh menang, kalau dulu popular dalam parti tetapi di luar tidak popular, undi susahlah sikit,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dan perasmian Persatuan Bekas Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) oleh Perdana Menteri di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata BN Melaka mempunyai ramai calon berkaliber bagi mengisi kekosongan kerusi itu selepas kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, akibat serangan jantung, Khamis lepas.

Sekurang-kurangnya tiga calon akan disenaraikan untuk dipilih dan mendapat persetujuan Perdana Menteri, katanya.

“Tidak ada masalah (calon), kita akan pilih yang terbaik, boleh menang, yang disokong, diminati dan mesra rakyat,” katanya.

Mohd Ali berkata jentera BN di setiap peringkat di negeri itu telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil DUN itu.

“Kita yakin mampu mempertahankan kerusi ini kerana ia kubu kuat BN,” katanya.

Terdahulu, Mohd Ali menerima anugerah tokoh bekas anggota Kemas bersama-sama bekas Adun Taman Medan, Selangor Datin Paduka Norkhaila Jamaluddin yang disampaikan Najib.

Mohd Ali pernah berkhidmat bersama Kemas dari tahun 1979 sehingga 1984 sebagai Penolong Pengarah dan Pengarah di beberapa negeri termasuk Kedah dan Melaka.

Tiada ulasan: