Isnin, 24 Januari 2011

BN Selangor tetap dengan pendirian tentang pindaan esok ( 24 Januari )

BERNAMA



SHAH ALAM — Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohamad Satim Diman hari ini berkata Barisan Nasional (BN) akan menentang pindaan Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 kerana tidak mahu melihat pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri hanya berfungsi sebagai “Pak Turut”.

Dewan Undangan Negeri Selangor akan bersidang esok bagi meminda Perkara 52 dalam undang-undang negeri bagi memulangkan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat

Undang-undang Negeri yang terletak dibawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Seolah-olah Menteri Besar nak berkuasa penuh. Adakah kita nak lihat umpamanya dalam satu pentadbiran kerajaan nak juga Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang yang macam dicucuk hidung,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN di sini hari ini.

Satim berkata setiap kerajaan yang baik mempunyai polisi yang baik dan polisi itulah yang sepatutnya dilaksanakan oleh pegawai-pegawai kerajaan sambil mempersoal kenapa sekarang Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meragui kuasanya sendiri sehingga perlu meminda undang-undang negeri.

Katanya beliau bimbang jika pindaan itu diluluskan mungkin tidak akan ada kata putus dalam pelantikan tiga jawatan tertinggi kerajaan negeri sekiranya calon yang dikemukakan SPA kepada Sultan tidak dipersetujui oleh Menteri Besar kerana beliau mempunyai calon lain.

“Kita akan hadir dan mempertikaikan kenapa ia dijadikan isu yang besar, seolah-olah dia nak mengembalikan kuasa kepada Sultan, bukan nak kembalikan kuasa kepada Sultan tapi nak beri kata nasihat kepada Sultan bermakna dia lebih berkuasa dari Sultan,” katanya.

Satim berkata mesyuarat pada petang ini bersama-sama Adun BN adalah bagi membincangkan mengenai cadangan pindaan undang-undang yang akan dibentangkan dan dibahaskan esok.

Beliau berkata perbincangan dibuat pada hari ini memandangkan ramai Adun BN baru mendapat Rang Undang-undang pindaan itu Jumaat lepas.

Satim berkata BN akan mengenengahkan lima pembahas dengan beliau sebagai pembahas utama dengan dibantu Timbalan Ketua Pembangkang yang juga Adun Kuala Kubu Baru Wong Koon Mun, Adun Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias, Adun Permatang Sulaiman Razak dan Ketua Penerangan Umno Negeri yang juga Adun Kuang Abdul Shukur Idros.

Sementara itu, beliau berkata BN Selangor masih menganggap Badrul Hisham Abdullah sebagai ADUN Pelabuhan Klang meskipun Speaker DUN Datuk Teng Chang Kim mengisytiharkan kerusi itu kosong.

Katanya Badrul Hisham berhak membuat permohonan di mahkamah berhubung keputusan Teng dan beliau masih wakil rakyat selagi belum ada keputusan daripada mahkamah.

“Badrul dijangka memfailkan permohonan di mahkamah esok (bagi mendapat pengisytiharan bahawa masih lagi Adun Pelabuhan Klang yang sah). Justeru, selagi tiada apa-apa keputusan dibuat di peringkat mahkamah, Badrul masih seorang Adun dan kerusinya belum gugur.

“Beliau patut diberi tempat dan peluang untuk menghadiri sidang DUN,” katanya di sini.

Rabu lepas, Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandang Badrul Hisham kosong kerana kegagalannya menghadiri persidangan Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah, berdasarkan Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri dan tiada peruntukan untuk rayuan.

Satim berkata tindakan Teng, yang juga Adun Sungai Pinang dari DAP yang mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong seolah-olah mahu membalas dendam dan menganiaya Badrul Hisham sebab keluar dari PKR dan menyertai Umno.

Sementara itu, Badrul Hisham ketika ditemui di bangunan sama, hanya berkata: “Kalau panjang umur, sampailah saya di mahkamah esok (untuk memfailkan permohonan).”

Tiada ulasan: