Selasa, 18 Januari 2011

Bersih 2.0 Minta SPR Hentikan 'Permainan Silap Mata'

KELAB GREENBOC

Kota Bharu - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kesal dengan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mengatakan badan itu sedang mengkaji sistem undi proksi.

Pengerusi Jawatankuasa Forum Bersih 2.0, Dr Abdul Halim Yusof berkata, sistem yang membolehkan seseorang pemilih diwakili mana-mana individu yang layak pada hari pengundian itu menambahkan ketidaktelusan dan ketidakadilan dalam proses pilihan raya.

Menurutnya, SPR memekakkan telinga dan memejamkan mata terhadap tuntutan yang sememangnya menjadi standard antarabangsa.

“Rakyat menolak undi pos, menuntut penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda dan kini kami menolak sistem undi proksi.

“Sudah sampai masanya SPR berhenti bermain silap mata dan memperbodoh rakyat,” katanya pada sidang media sempena Forum Roadshow Bersih 2.0, di sini, semalam.

Forum tersebut akan diadakan pada 21 Januari ini di Balai Islam, Lundang, di sini, dan menampilkan tiga tokoh sebagai ahli panel iaitu Dr Toh Kin Woon, Dr Abdul Aziz Bari dan Datuk Husam Musa.

Bersih dilancarkan pada 10 November lalu, sebelum dilancarkan semula menjadi Bersih 2.0 serta dianggotai aktivis-aktivis organisasi masyarakat sivil (CSO) yang bebas daripada pengaruh politik.

Abdul Halim berkata, pilihan raya sepatutnya menjadi proses demokrasi yang mengiktiraf hak mengundi rakyat untuk memilih wakil mereka.

“Kami sekali lagi ingin menekankan tuntutan terdahulu seperti melakukan pembersihan dan penyemakan semula daftar pemilih bagi memastikan kesalahan dapat dihapuskan.

“Akses media mesti adil kepada semua pihak dalam pilihan raya dengan memberi peluang semua parti menjelaskan dasar dan manifesto masing-masing,” katanya.

Selain itu, katanya, bersih 2.0 turut menuntut pendaftaran automatik untuk semua pengundi yang layak, perubahan umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan secara profesional serta mengubah semula urusan kewangan pilihan raya bagi memastikan ketelusan politik wang. -SH

12 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Tanggungjawab SPR adalah mengendalikan pilihan raya yang bersih, adil dan lancar.

Anak Sabah berkata...

Saya kurang setuju dengan cara pengundian menerusi proksi dan juga pengundian pos kerana mudah dimanipulasi.

tombolo berkata...

SPR kena pastikan pengundian yang dijalankan berlaku dgn adil dan bersih tnpa sebarang penyelewengan.

Paquin berkata...

hhhmmm macam makin complicated pula hal ni. huhu

Paquin berkata...

Semoga perkara ni dapat ditanggani dengan baik bagi mengurangkan ketegangan yang timbul.

nickko berkata...

tujuan pembaharuan ini adalah untuk memastikan urusan pengendalian pilihan raya dapat dijalankan dengan cekap dan telus. malah, jika sistem itu diluluskan ia akan dijalankan dengan ketat supaya tidak dipertikaikan oleh mana2 pihak... kenapa Bersih 2.0 sibuk mempertikaikan cadangan yang belum lagi diluluskan tetapi berdiam diri dengan proses pemilihan PKR yang lebih banyak mendedahkan kecacatan dan kekotoran?? nasihat dulu rakan sendiri sebelum menasihati orang lain.

nickko berkata...

Tan Sri Abdul Aziz sepatutnya menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan sistem ini supaya isunya lebih jelas dan mudah bagi rakyat dan pihak yang berkepentingan memutuskan samada menerima atau tidak cadangan itu.

Hosie Masie berkata...

Undian biarlah rahsia. Maka SPR perlu memikirkan perkara ini semula.

Bhatera berkata...

Semoga SPR dapat memeberikan sesuatu yang terbaik untuk pilihanraya. Apa cadangan sekalipun pastikan telah dikaji dari semua aspek.

zam berkata...

harap SPR dapat melakukan sesuatu yang dapat memuaskan hati semua pihak.

elia berkata...

Jangan lakukan sesuatu yang menyinggung perasaan rakyat. Jangan lupa, rakyat lah yang berkuasa

elia berkata...

Jika rakyat membantah, tetapi anda mempunyai sebarang ulasan yang kukuh untuk menyokong hujah, silalah berbuat demikian.