Sabtu, 8 Januari 2011

Bekas pegawai kanan Digi Telecommunication didakwa terima rasuah RM425,000

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Seorang bekas pegawai kanan pemerolehan Digi Telecommunication Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 tuduhan memperoleh rasuah berjumlah RM425,000 daripada sebuah syarikat, lapor Bernama.

S. Stanley, 39, dari Bandar Kinrara, Puchong, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Tertuduh didakwa memperoleh bagi dirinya kesemua wang tunai itu melalui akaun Maybank daripada Syarikat Nakhoda Sistem Sdn Bhd sebagai dorongan untuk memilih syarikat berkenaan sebagai pembekal kabel dan peralatan telekomunikasi kepada Digi Telecommunication.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank cawangan Taman Kinrara, Puchong dekat sini, antara 13 Ogos 2007 dan 22 Okt 2008.

Stanley didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16, akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Azhaniz membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Stanley menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 11 April depan dan menetapkan 8 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Sinti dan Ng Siew Wee sementara peguam Firuz Jaffril hadir bagi pihak pembelaan.

Tiada ulasan: