Khamis, 6 Januari 2011

Bekas CEO syarikat didakwa guna dokumen palsu

BERNAMA


SHAH ALAM - Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung permohonan untuk membekal dan memasang alat pantulan keselamatan jalan raya di jalan-jalan Persekutuan dan negeri, dua tahun lepas.

Mohd Azizi Kong Abdullah, 61, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen rasmi dari Kementerian Kewangan bertarikh 18 Mei 2009 berkaitan permohonan untuk membekal dan memasang ‘Sinarflex Road Edge Delimeator Posts’ di jalan-jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara sedangkan dia tahu surat itu adalah palsu.

Mohd Azizi didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat IDH Venture Sdn Bhd, Suite 3A05, Level 4, Menara Mutiara Majestic, 15 Off Jalan Othman, Seksyen 3, Petaling Jaya dekat sini, antara Mei dan Jun 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang ditangkap pada 30 Jun 2009 boleh dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Sinti mencadangkan agar Mohd Azizi dibebaskan dengan jaminan RM30,000 serta seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana dia kini tidak lagi bekerja dan tidak mempunyai wang selepas membayar bon jaminan RM30,000 kepada SPRM sebelum ini.

Mat Ghani kemudian menetapkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan bagi Mohd Azizi melantik peguam.


Tiada ulasan: