Sabtu, 22 Januari 2011

Badminton: Taufik desak BWF siasat Lin Dan tarik diri kali ketiga

BERNAMA

Pemain badminton perseorangan lelaki Indonesia, Taufik Hidayat beraksi dengan pemain Jepun, Kenichi Tago di kejohanan Proton Malaysia Open Super Series 2011 hari ini. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR — Pemain utama Indonesia Taufik Hidayat mahu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyiasat dan mengambil tindakan sewajar terhadap pemain sensasi China, Lin Dan kerana menarik diri dari Kejohanan Terbuka Malaysia 2011 hari ini.

“Saya lihat Lin Dan telah tiga kali menarik diri terutama ketika menentang rakan senegaranya. Hari ini, perkara sedemikian berulang lagi.

“Saya tidak mahu perkara seperti ini akan menjejaskan semangat kesukanan. Ini tidak adil buat pemain lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini.

Selain Terbuka Malaysia, Taufik mendakwa Lin Dan pernah melakukan perkara sama pada Kejohanan Terbuka China dan Terbuka Hong Kong pada Disember lalu.

Sementara itu, menurut ketua pengadil, Jane Wheatley dari Australia, Lin Dan menarik diri kerana mengalami kecederaan pada bahagian abdomen kirinya dan telah mendapatkan nasihat doktor untuk menjalani fisioterapi dan berehat dari bermain.

Terdahulu itu, Taufik menumpaskan pemain Jepun, Kenichi Tago 21-15, 21-15 selama 46 minit untuk mara ke separuh akhir esok.

Taufik, juara Olimpik Athens 2004, akan menentang rakan senegara Simon Santoso. Simon pula menempah tiket ke separuh akhir dengan mengalahkan rakan senegara, Alamsyah Yunus 20-22, 21-10, 21-18.

“Saya lihat Kenichi tidak mempamerkan permainan yang konsisten pada malam ini kerana dia seolah-olah tidak bersemangat berbanding sebelum ini ketika menentang Dicky Palyama (Belanda) dan Bao Chunlai (China).

“Selain itu, walaupun Simon bersama saya dalam skuad nasional, saya tetap akan membuat yang terbaik tanpa memberikan Simon peluang esok,” katanya pemain berusia 29 tahun itu.

Tiada ulasan: