Jumaat, 14 Januari 2011

Azan: Pekida, Perkasa mahu ‘peguam’ MCA ditahan ISA

TERKINI


Sebahagian daripada penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi berhubung isu azan petang ini. - Foto oleh Choo Choy may

KUALA LUMPUR — Sekitar 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi di sini, mengadakan tunjuk perasaan petang ini mendesak agar seorang peguam, yang didakwa menggesa penggunaan pembesar suara dihentikan, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kumpulan itu terdiri daripada anggota kumpulan NGO Pekida dan Perkasa mendakwa peguam terbabit menuntut agar masjid tersebut menghentikan penggunaan pembesar suara bagi tujuan azan.

Penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan menamakan peguam terbabit, malah mempamerkan alamat rumah dan nombor telefonnya pada kain rentang ketika berdemonstrasi.

Pengerusi Pekida Lembah Pantai, Zakaria Awang mendesak individu itu ditahan kerana menghasut.

“Kami mahu dia ditahan di bawah ISA kerana mengancam keharmonian negara,” katanya.

Katanya, dia boleh mengubah kewarganegaraan jika mahu.

Malah kata beliau, peguam itu juga harus membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kumpulan itu juga mengedarkan salinan surat yang didakwa dihantar ke Pejabat Perdana Menteri meminta nada laungan azan menggunakan pembesar suara dikurangkan.

Dalam suratnya bertarikh 20 Disember 2010, peguam tersebut berkata dia ahli MCA sejak 1998.

Katanya, dia tinggal di Pantai Hill Park sejak lima tahun lalu dan terjaga daripada tidur kerana laungan azan.

Dalam salinan surat yang diperoleh dari Internet, peguam itu berkata, “sebagai seorang peguam dan ahli seumur hidup MCA sejak 1998, saya merasa amat kesal kerana sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas dari pihak Jabatan Perdana Menteri walaupun berkali-kali saya telah menulis surat menyuarakan masalah saya termasuk kepada JPA, MCA dan Gerakan.”

“Sebagai seorang penghuni yang telah lebih daripada lima tahun menghuni di Pantai Hill Park, saya sudah biasa kedengaran bunyi sembahyang subuh dari Masjid Al-Ikhlasiah yang berdekatan dan tidak menghadapi apa-apa masalah,” katanya.

Bagaimanapun kata peguam itu, sejak beberapa bulan lalu dia mendapati bunyi laungan azan tiba-tiba menjadi “amat lantang sehingga mengejutkan saya pada setiap pagi 5.45 pagi.”

“Ambil perhatian bahawa saya tinggal di tingkat paling tinggi iaitu tingkat 21, dan jarak Pantai Hill Park dari masjid tersebut adalah lebih kurang satu kilometer.

“Menurut khabar angin, imam yang baru telah ditukar ke masjid ini,” katanya.

Dia seterusnya menulis, “saya juga pernah menelefon pejabat polis Kuala Lumpur dan menurut pegawai atasan di sana, tiada sebarang peraturan atau undang-undang yang mengawal bunyi sembahyang masjid dan lagi kuat bunyi itu lagi baik, untuk mengingatkan lebih banyak Muslim tempatan bangun bersembahyang.”

“Saya menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi hak saya untuk tidur dan rehat serta bersembahyang agama sendiri dengan aman dalam permis persendirian juga harus dihormati.

“Saya berpandangan kekuatan pembesar di mana-mana tempat sembahyang tanpa mengira agama, mesti dikawal oleh pihak-pihak berkuasa tertentu, melalui peraturan yang saintifik dan rapi seperti pengiraan decibel (dB), tidak boleh mengatasi undang-undang,” katanya sambil menambah, “seperti di rumah kampung saya di Seremban, didapati bunyi masjid itu adalah lebih rendah dan terkawal.”

Difahamkan peguam itu pernah berkhidmat di pejabat bekas presiden MCA, yang ketika itu anggota Kabinet.

Peguam itu juga gagal dihubungi untuk mendapatkan pengesahan sama ada menulis surat tersebut.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Kerinchi Fauzi Che Ahmad berkata peguam tersebut mesti menghormati sensitiviti masyarakat Islam.

Timbalan Pengerusi Pekida Lembah Pantai Sallehudin Yakob juga berkata perhimpunan hari ini bukan bermotifkan politik, tetapi mahu mempertahankan kesucian Islam.

“Kami tidak pernah mengadu apabila orang Cina membakar mercun di tengah malam.

“Kami tidak pernah bising apabila ia dibakar berjam-jama lamanya. Jangan bermain dengan api,” kata beliau.

Sekumpulan penunjuk perasaan minoriti menggesa kepala peguam itu dipenggal dan rumahnya dibakar.

Malah kumpulan itu juga menggesa Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menjelaskan pendirannya dalam isu ini.

Kemudian kumpulan itu mengibarkan bendera Pekida dan mula membakar beberapa patung sebelum tindakan mereka dihentikan oleh polis.

Tiada ulasan: