Khamis, 27 Januari 2011

Azahar ada kes mahkamah, Cikgu Mala cemerlang

Harakahdaily

LABIS: Para pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang perlu membuat pilihan bijak untuk memilih wakil mereka yang cemerlang dan berintegriti ke Dun Johor pada 30 Januari ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana calon BN, Mohd Azahar Ibrahim mempunyai kes di mahkamah akibat kecuaiannya melelong tanah seorang lelaki semasa menjawat Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat.

Ini, katanya berbeza dengan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Cikgu Mala yang diiktiraf guru cemerlang oleh Kementerian Pelajaran dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Cikgu Mala pernah menerima Anugerah Guru Aktif sempena Sambutan Hari Guru Daerah Segamat.

Cikgu Mala turut menerima Anugerah Khas sempena Perbahasan Ala Parlimen pada Perayaan Hari Guru.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berhubung kenyataan Azahar bahawa kes melelong tanah berkenaan telah selesai.

Pada siang media semalam, Salahuddin mempersoalkan bagaimanakah calon Umno itu dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan disebabkan kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasanya mengendalikan isu pelelongan hartanah Mansor Mohamad tersebut telah mengakibatkan Puan Norhana Mohd Ali iaitu pembeli yang membeli hartanah yang dilelong secara tidak sah menyaman (i) calon Umno (Azahar), (ii) Pentadbir Tanah Daerah Segamat, (iii) Pejabat Tanah Daerah Segamat dan (iv) Kerajaan Johor sebagai Defendan-Defendan bagi menuntut gantirugi berjumlah lebih kurang RM1.5 juta.

Soalnya lagi, bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan dalam tuntutan Puan Norhana Mohd Ali ke atas keempat-empat defendan tersebut, Azahar telah dijadikan sebagai defendan pertama dan kes tersebut telah pun didaftarkan di Mahkamah Tinggi Muar iaitu Guaman Sivil No: 23-14-2009.

Bagaimanakah calon Umno menyatakan kes tersebut telah selesai sedangkan Mahkamah Tinggi Muar telah pun menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas calon Umno dan tiga yang lain pada 7 Februari nanti.

Hakikatnya, kata Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, fakta-fakta di atas menunjukkan bahawa bukan sahaja kes kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa calon Umno BN sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat belum selesai, sebaliknya kes penyalahgunaan kuasa itu masih berterusan di mahkamah.

Bagi Mahfuz, saman itu membuktikan bahawa mahkamah sebelum ini memutuskan perbuatan Azahar bersalah melelong tanah berkenaan dan tindakannya itu adalah tidak sah.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pengundi supaya mencontohi apa yang dilakukan oleh para pengundi pada PRK Permatang Pasir pada 25 Ogos 2009 lalu yang menolak calon BN kerana terlibat dengan pecah amanah dan menyokong calon PAS, Ustaz Saleh Man.

Mengulas kenyataan Azahar yang disifatkan sebagai suatu pembohongan kerana menyatakan kes melelong tanah telah selesai, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berbohong atau tidak, rakyat dan pengundi akan menentukan sendiri oleh keputusan mahkamah itu.

Katanya, tanah itu telah dikembalikan kepada Mansor dan sememangnya dia berhutang dengan bank kerana jika tidak berbuat demikian, tiada isu atas gadaian.

“Persoalannya ialah Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat ini telah menganiaya beliau dengan kerja yang cuai dan tidak kompeten,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Beliau menambah, kini bagi menyelamatkan diri, Azhar terpaksa menipu sehingga memburukkan reputasi rakyat yang tenang, Mansor dan PAS.

Baginya, tidak pelik sekiranya calon BN itu akan terus berbohong berhubung isu melelong tanah berkenaan.

Justeru, katanya bagaimana calon BN itu yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhtiddin Yassin untuk menyelesaikan masalah tanah rakyat di Dun Tenang jika dipilih sebagai wakil rakyat sedangkan Azahar pernah bertindak cuai dalam kes tanah semasa menjadi Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat sehingga dibawa ke mahkamah.

13 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Harap rakyat pandai menilai calon yang berkualiti dan membuat pengundian yang baik.

tombolo berkata...

walaupun Azahar ada reputasi kurang baik sebelum ini. namun peluang harus diberikan untuk dia memperbaiki dirinya.

madd berkata...

jangan dengar penjelasan dari sebelah pihak saja. perlu dengan penjelasan daripada kedua belah pihak baru lah buat penilaian.

Tanpa Nama berkata...

rakyat tau menilai mana yang terbaik.

Antanum berkata...

Waa semua masalah peribadi timbul. Jangan guna alasan ini untuk menang, tapi apapun rakyat mempunyai hak untuk memilih.

Tanpa Nama berkata...

Pada 8hb Julai, 2003 Notis siasatan telah dihantar kepada Mansor bin Mohamad dan diterima oleh Puan Kamariah, notis ini dikeluarkan akibat kemungkiran gadaian sejak awal 2003 lagi, atau dalam kata lain Mansor tidak bayar hutang yang dicagarkan/digadaikan. tanah yang terlibat ialah HSM535 Lot 2091 Mukim Jabi dan selepas semua dokumentasi dan prosedur diambilkira maka tanah pun akan dilelong. tanah yang kena lelong ini berjaya dibeli oleh Puan Norhana Mohd Ali pada harga RM70,000. kemudian Mansor merayu dan membayar semula hutang beliau maka perintah lelong pun dibatalkan... yang melelong itu sebenarnya pihak bank. semuanya berlaku melalui prosedur.

Antanum berkata...

Biarlah bertanding secara bersih. Satu lagi kita smua mempunyai masa silam dan pernah melakukan kesalahan, namun tidak bermakna tidak ada paluang kedua untuk kita.

Tanpa Nama berkata...

berhubung kes penjualan tanah tersebut sebaliknya ia sekadar salah satu prosiding guaman biasa yang telah diambil oleh pihak CIMB Bank. Ini suatu tindakan biasa mana2 bank terhadap pelanggan yang gagal menjelaskan hutang manakala pejabat daerah hanya melaksanakan selebihnya iaitu apabila ia sudah dibawa ke mahkamah termasuk proses lelongan. PAS sengaja memutarbelitkan isu ini dan cuba meremehkan minda rakyat.

Mohd Ishak berkata...

Rakyat akan memilih calon yang dirasa sesuai untuk memperjuangkan hak mereka.

Sanih Alias berkata...

Macam-macam isu sekarang ini. Semakin menjadi-jadi. Biarlah dia ada kes mahkamah, tapi yang penting dia tahu buat kerja untuk membantu rakyat.

Paquin berkata...

Terpulanglah pada pegundi di Tennag untuk mengundi calon yang mereka rasakan layak

Paquin berkata...

Semoga perkara peribadi tidak dijadikan alasan untuk tidak menyokong seseorang calon. Asalkan individu tu berkelayakan dan tahu menjalankan t/jawab dengan baik, maka itulah calon yang paling sesuai.

Anak Sabah berkata...

Saya percaya rakyat mampu membuat penilaian sendiri.